KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertahanan (MENHAN), Tuan Hj Adly Zahari buat pertama kalinya melaksanakan Lawatan Kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD) pada 27 Feb 2023.
Ketibaan beliau disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan disusuli dengan pemeriksaan Kawalan Kuarter sebelum diiring ke Bilik Mesyuarat Utama bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Sempena lawatan ulung ini, beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan lima waris daripada warga PMBTD.
SSjn Halimaton Saadiah Muhamad Shahrom dari MK PMBTD mengalami masalah gangguan saraf manakala anaknya Megat Syazzahran berusia lima tahun mengalami masalah di bahagian tulang paha kiri.
Penerima sumbangan kebajikan seterusnya merupakan anak lelaki kepada Mej Zainal Ariff Zainal Abidin dari Rejimen Ke-31 Artileri Diraja (31 RAD) iaitu Muhammad Aqeef Danish berusia 12 tahun yang mengalami penyakit Pre-B Acute Lymphoblastic Leukimia.
Anak perempuan kepada PW I (YoS) Md Hairi Mohamed Buniran dari 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) iaitu Nur Qurratu Aini berumur 13 tahun mengalami masalah tulang pinggul terkeluar dan diikuti dengan anak perempuan kepada Kpl Mohd Azhar Che Ghazali dari MK PMBTD iaitu Nurul Iman berusia lapan tahun mengalami masalah pertumbuhan tulang tidak stabil.
Penerima terakhir merupakan anak lelaki kepada Bdr Muhd Azim Kamaruzaman dari 71 RSDPMB iaitu Muhammad Faris Haikal berusia tujuh tahun menghidap Autism Spectrum Disorder.
Lawatan diteruskan dengan sesi jamuan makan bersama warga PMBTD sebelum diakhiri dengan sesi menandatangani Buku Lawatan.
Pelaksanaan acara ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dr. Mohd Bakhari Ismail, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), Mej Jen Dato Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid, Panglima 4 Div, Mej Jen Anuar Abdul Wahab, Ketua Staf Am MK PMBTD, Mej Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi