KUALA LUMPUR: Warga Pemerintahan Logistik Tentera Darat (PLTD) meraikan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain bersama isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha dalam Lawatan Penghargaan PTD Ke-28 di Markas PLTD pada 28 Feb 2023.
“Bagi merealisasikan Pelan Strategik Army 4NextG, PLTD 2 akan ditubuhkan bagi melaksanakan fungsi logistik sebagai Centralized Command di Wilayah 2.
“Pelaksanaan perancangan tersebut akan meningkatkan keupayaan logistik TD agar lebih efisien dan berkesan,” jelas PTD.
PTD berucap demikian ketika melakukan lawatan penghargaan ke MK PLTD sempena persaraan beliau yang akan menamatkan perkhidmatan pada 21 Sep 2023 ini.
Ketibaan PTD dan isteri disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum diiring oleh Panglima Logistik Tentera Darat (PL TD), Mej Jen Hj Rusni Saad ke Kelab Camelia bagi sesi sarapan pagi dan menandatangani Buku Lawatan.
Sempena lawatan penghargaan ini, PTD dan isteri menyempurnakan penyerahan sumbangan kebajikan kepada empat waris anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) warga PLTD yang mengalami masalah kesihatan kronik.
PTD dan isteri menyantuni anak lelaki kepada Kpl Mohd Faizal Ramli dari 91 Depot Pusat Kor Ordnans Diraja (91 DPOD) iaitu Muhammad Arif yang dilahirkan tanpa saluran najis dan saluran kencing tersumbat.
Penerima sumbangan berikutnya merupakan anak dan isteri kepada Kpl Mohamad Atriq Azmin Maulana Afandy Azman dari 93 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja (93 Bn KPD) iaitu Puan Nurizyan Maulad Abdul Hamid yang menghidap penyakit Kelenjar Sebaceous Cyst manakala anaknya Nur Syafiqah Qalesya mengalami masalah asma dan paru-paru kronik.
Waris seterusnya merupakan anak perempuan kepada Kpl Mohd Zaizuri Razali dari 40 Markas Kejuruteraan Peluru (40 MKP) iaitu Nur Alzahra yang menghidap Acute Myeloid Leukemia (AML).
Sumbangan kebajikan terakhir diberikan kepada waris Sjn Mohd Fazrin Kadir dari 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP) iaitu Muhamad Aqil Mikael mempunyai masalah buah pinggang, tulang belakang bengkok dan tangan kanan lebih pendek berbanding tangan kiri.
Lawatan kemudian diteruskan lagi dengan menyaksikan demonstrasi Explosive Ordnance Disposal (EOD) oleh 40 MKP dan perasmian Dewan Makan Kem Imphal sebelum diakhiri dengan jamuan makan serta penyampaian cenderahati.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf Markas Tentera Darat Cawangan Logistik, Brig Jen Ts Muhammad Shafiq Poh Abdullah, Timbalan PL TD, Brig Jen Hj Abdul Jalil Hj Ramli dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi