KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-90 menjadi simbolik daripada perjuangan pejuang tanah air iaitu Lt Adnan Saidi serta mengekalkan tema ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ bagi meneguhkan jati diri serta memupuk semangat kesatuan yang tinggi dalam kalangan warga Tentera Darat (TD).
Perbarisan HTD Ke-90 ini disambut dengan penuh istiadat dan tradisi ketenteraan melibatkan kesemua 16 kor dan rejimen serta mengarak tujuh panji-panji dengan penglibatan seramai 58 pegawai dan 1,426 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menerima tabik hormat berserta terbang Lintas Hormat lima buah pesawat yang terdiri daripada tiga buah pesawat A109 LOH dan dua buah pesawat MD 530G.
Seterusnya, istiadat perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat bersama tujuh panji-panji diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja (RSD).
PTD menyatakan bahawa sepanjang tempoh 90 tahun, TD sentiasa bergerak maju ke hadapan, melangkah gagah dengan penuh keyakinan serta sentiasa bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.
“Dari sebuah ketumbukan kecil, TD terus berkembang maju menjadi sebuah angkatan yang penuh kredibel, mendapat kepercayaan rakyat dan negara serta diakui keunggulan di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Banyak kejayaan telah dilakar antaranya berjaya meningkatkan kesiagaan TD melalui perolehan aset-aset baharu dan sengaraan aset-aset sedia ada secara langsung telah meningkatkan keupayaan kuasa tembakan, mobiliti serta logistik TD.
“Dalam aspek pelestarian kesejahteraan warga, kita telah berjaya membina, menyelenggara dan menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang dapat mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selesa dan selamat.
“Semua kejayaan yang dicapai hasil daripada usaha gigih seluruh warga TD yang sentiasa bermotivasi tinggi serta bersemangat waja untuk menunaikan setiap penugasan yang diamanahkan,” ujarnya.
PTD berkata demikian ketika menyampaikan perutusan dalam Istiadat Perbarisan HTD Ke-90 bertempat di Dataran PTD pada 1 Mac 2023.
Dalam acara yang sama, PTD turut berkesempatan menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT), Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat (APITD), Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN).
Turut hadir, Mantan PTD Ke-10, Jen (B) Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Saifun Hakimi Zainon