KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman meraikan persaraan Brig Jen Hamdan A Samad dan Brig Jen Zulkifli Ahmad dalam Perbarisan Penghargaan di Padang Kawad Kem Batu Kentomen pada 15 Mac 2023.
“Sesungguhnya, pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk Tentera Darat (TD) khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya adalah amat besar dan tidak ternilai.
“Sebahagian besar daripada usia telah dihabiskan untuk mengabadikan diri kepada perkhidmatan yang secara tidak langsung menyumbang kepada kesejahteraan perkhidmatan dan negara.
“Ketokohan dan kecemerlangan kedua-dua pemimpin ini wajar dicontohi kerana mempunyai pengalaman luas serta tidak kekok dalam menyumbang tenaga mahupun buah fikiran dalam menguruskan keperluan organisasi agar terus maju kehadapan,” ujar TPTD.
Terdahulu, beliau menerima tabik hormat perbarisan berkekuatan seramai 15 pegawai dan 197 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai Lt Kol Shaafuan Mohamed Zin dari 91 Unit Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera (91 UPKAT) dengan diiringi pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Brig Jen Hamdan A Samad yang akan bersara pada 16 Jun 23 telah banyak menjawat jawatan penting seperti Pegawai Pemerintah 2 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD), Pengarah Operasi dan Pengarah Pengurusan di Jabatan Arah RAJD dan jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan di Markas ATM.
Manakala, Brig Jen Zulkifli Ahmad akan bersara wajib pada 26 Mac 23 setelah berkhidmat selama lebih 40 tahun pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Pemerintah 7 Skn RAJD, Pegawai Memerintah 94 UPKAT sebelum berakhir dengan jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan di Bahagian Perkhidmatan Jurutera Pertahanan di Markas ATM.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati dan jamuan makan serta diikuti acara memotong kek sempena Hari Kelahiran TPTD sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan kepada Brig Jen Hamdan A Samad dan Brig Jen Zulkifli Ahmad di Dewan Makan 91 Rej Bantuan RAJD.
Turut hadir, Pengerusi RAJD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzwan, Ketua Jurutera RAJD, Brig Jen Sharuddin Mohd Nor, Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Fazillah Ibrahim dan Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan, Brig Jen Sr Dr Mohd Zamri Mohamad Rabab.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi