KELANTAN: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bersama panglima-panglima formasi melakukan lawatan ke kawasan operasi Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Tentera Darat (TD) di sekitar Rantau Panjang dan Jeli pada 22 Apr 2023.
Lawatan dimulakan dengan meninjau dan beramah mesra bersama pegawai serta anggota bertugas di kawasan operasi Pos Renap, Pos Tiang Bendera dan Pos Tok O.
PTD melaksanakan lawatan ini bertujuan bagi melihat keadaan persiapan raya selain meninjau keadaan prasarana, kesiagaan serta permasalahan semasa yang berlaku di kawasan operasi.
Terdahulu, PTD menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama warga Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) dan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri yang diimamkan oleh Pegawai Staf Agama Markas 8 Bgd, Lt Kol Anuar Mat Zin manakala khutbah disampaikan oleh Pengarah Agama Markas Tentera Darat (MK TD), Kol Hasbullah Salleh bertempat di Masjid As-Solihin, Kem Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD).
PTD kemudian meluangkan masa memeriahkan jamuan Hari Raya Aidilfitri serta menyampaikan duit raya kepada anak-anak warga 8 Bgd sebelum beransur meninggalkan majlis.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husien, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Sel Perhubungan Raya TD