KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyempurnakan Perbarisan Perutusan Ulung PTD Ke-29 di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi pada 2 Mei 2023 setelah mengambil alih tampuk pemerintahan tertinggi Tentera Darat (TD).
Perutusan yang disampaikan menekankan tiga objektif utama iaitu Kesiapsiagaan, Kemampanan Organisasi dan Sahsiah Keperwiraan berteraskan sinergi 3M (Man, Machine and Method).
PTD juga menggariskan lima teras utama iaitu Peningkatan Kesiagaan, Pengukuhan Organisasi dan Modal Insan, Kesejahteraan Warga, Pengukuhan Hubungan Antarabangsa serta Keutuhan Hubungan Tentera dan Awam yang merupakan kesinambungan kepada Tonggak Perintah Ulung PTD Ke-28.
Perbarisan melibatkan seramai 53 pegawai serta 1,553 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang terdiri daripada 16 detasmen mewakili semua kor dalam TD, satu detasmen 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), satu detasmen Briged Ke-10 (Para) (10 Bgd (Para)) dan satu detasmen terbang lintas hormat Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ini turut menyaksikan penyerahan Direktif PTD Tahun 2023 hingga 2026 kepada sidang tertinggi PTD.
Penyempurnaan perutusan PTD Ke-29 ini sekaligus menjadi langkah ke arah pembentukan ketumbukan kredibel melalui Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik Army4NextG yang teratur, menyeluruh dan terangkum.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Pbt Nik Ahmad Asyaraaf Nik Husein