NEGERI SEMBILAN: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang (PRP), Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyaksikan demonstrasi akhir Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tahun 2023 melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan bertempat di Lapang Sasar Asahan pada 18 Jul 2023.
“Latihan senjata api berfungsi sebagai platform di mana sinergi Man, Machine dan Method (3M) diuji serta dilaksanakan pada tahap profesionalisme dan dedikasi tertinggi.
“LKT pada tahun ini telah dirancang dan dilaksanakan dengan teliti untuk merealisasikan dua objektif Perintah Ulung yang telah disampaikan iaitu Kesiapsiagaan dan Kemampanan Organisasi selain direka bentuk untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran berperang anggota tentera yang menggambarkan senario taktikal melibatkan penempatan bahagian senjata gabungan dalam operasi serangan sebagai sebahagian daripada persediaan pasukan petugas bersama,” ujar PTD.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyampaikan ucapan ketika demonstrasi akhir LKT Tahun 2023 yang dihadiri seramai 2,660 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Latihan ini juga diadakan untuk mempamerkan atur gerak dan keupayaan sesebuah combat team dalam ketumbukan combined arms melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik yang merangkumi senjata Bantuan Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) serta Pesawat Udara TLDM dan TUDM dalam memperagakan keberkesanan sistem persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antara aset yang terlibat ialah Kenderaan Perisai Pendekar, Gempita, Lipan Bara, Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) manakala persenjataan merangkumi Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe, Baktar Shikan, Mortar 81 MM serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).
Tembakan bantuan dari udara juga dilaksanakan melibatkan pesawat Helicopter Super Lynx, AS555 Fennec serta MD530G dan Agusta.
Turut hadir, Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Timbalan MENHAN, Tuan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat Hj Ahmad, Panglima-panglima Perkhidmatan dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Gambar: PWII Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir dan Saifun Hakimi Zainon