NEGERI SEMBILAN: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan merasmikan Majlis Pecah Tanah Kem dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bagi Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) dan Army Red Warrior (ARW) bertempat di Mukim Si Rusa, Port Dickson pada 27 Jul 2023.
Terdahulu, ketibaan MENHAN disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM sebelum dibawa melihat replika contoh pembinaan RKAT bagi menyempurnakan acara gimik sebagai simbolik perasmian pecah tanah.
Pembinaan projek ini menelan kos sebanyak RM232.9 juta melibatkan pembangunan semula aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti PULAPOT, Markas Akrobatik ARW dan RKAT serta kemudahan-kemudahan lain yang pada asalnya berada di Kem Segenting.
Kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa ini bakal dibina di tapak Mukim Si Rusa merangkumi pembinaan Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara serta sebanyak 213 unit RKAT bakal disediakan kepada anggota ATM yang bertugas di sini dengan kemudahan lengkap seperti kompleks komuniti, surau, sekolah, rumah dan gelanggang sukan.
Pembangunan aset ATM ini selari dengan matlamat Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) untuk menjaga kebajikan warga kerja pertahanan sesuai dengan konsep Malaysia Madani yang akan memberi faedah khususnya kepada warga ATM.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, pemangku Ketua Setiausaha (Pembangunan) KEMENTAH, Datuk Dr. Shah Razat Hj Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dr. Mohd Bakhri Ismail.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul