KUALA LUMPUR: Warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hadir memeriahkan Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohammad Hj Hasan di Wisma Perwira ATM pada 22 Ogos 2023.
MENHAN ketika pelancaran menyatakan bahawa kempen ini merupakan bantuan kecemasan bagi membantu komuniti veteran ATM ketika kerajaan tidak dapat menyalurkan sokongan seperti pembiayaan kos lampin pakai buang, susu khas secara berterusan, veteran atau orang tanggungannya yang sakit terlantar dan perolehan peralatan pesakit yang tidak dapat dibekalkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM terutama sekali bagi peralatan yang bersifat khas atau customized.
Pelancaran kempen ini juga secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam meningkatkan semangat patriotisme dan perpaduan antara semua lapisan masyarakat selain membantu membiayai program-program berunsurkan semangat patriotisme.
MENHAN menyeru kepada seluruh sektor awam mahupun korporat untuk terus membantu kempen ini agar sasaran kutipan tabung sebanyak kira-kira RM 10 juta dapat dicapai bagi meluaskan lagi program-program melibatkan JHEV ATM.
Antara penyumbang-penyumbang korporat yang terlibat adalah seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyumbang sebanyak RM 150,000 serta Boustead Holding Bhd dengan jumlah sumbangan sebanyak RM 50,000 dan diikuti dengan sumbangan dari BH Petrol juga sebanyak RM 50,000.
Defence Technologies Sdn Bhd, Rasumi Medipharma Sdn Bhd dan Pasukhas Development Sdn Bhd masing-masing menyumbang sebanyak RM 50,000 manakala penyumbang terakhir iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd menyumbang sebanyak RM 15,000.
MENHAN juga berkesempatan menyantuni seramai 14 orang veteran cedera perang dengan menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban.
Turut hadir, Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Shahrazat Hj Ahmad, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mej Jen Zambery Jefry Hj Darus dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali.