KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyempurnakan Perbarisan Perutusan Ulung PAT Ke-22 di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi pada 23 Okt 2023 setelah perlantikan beliau sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perbarisan melibatkan seramai 40 Pegawai dan 1,158 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) merangkumi 12 detasmen yang terdiri daripada enam detasemen Tentera Darat (TD), tiga detasemen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga detasemen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Turut menyaksikan terbang lintas empat buah pesawat helikopter ATM iaitu dua buah helikopter EC-725 TUDM, helikopter Fennec TLDM dan helikopter A-109 TDM yang membawa bendera ATM, TD, TLDM dan TUDM yang diketuai oleh Mej Khairul Ridhuan Ramlee TUDM. Perbarisan juga turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan ATM di bawah pimpinan Lt Amirul Shafiq Abdul Aziz.
Perutusan yang disampaikan oleh PAT menggariskan empat teras falsafah pemerintahan dalam mendukung semangat kebersamaan dan tidak menyongsong arus secara sendiri untuk menjadi sebuah organisasi.
Empat teras Perintah Ulung PAT seiring dengan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang berkeinginan untuk menjadikan ATM sebuah Angkatan Masa Hadapan bercirikan kesepaduan, tangkas dan berfokus menjelang Tahun 2030. Teras tersebut merangkumi empat penekanan iaitu, teras pertama Memperkasakan Keupayaan Dan Kesiagaan Menuju Angkatan Masa Hadapan, teras kedua Melaksanakan Transformasi Operasi, Latihan Dan Doktrin, teras ketiga Menggilap Modal Insan Angkatan Yang Positif Dan Progresif Secara Holistik dan teras keempat Memperkasakan Gagasan Bersepadu Tentera Dan Rakyat. Justeru, PAT mengajak setiap warga ATM untuk bersama-sama menjana buah fikiran dan menggembleng daya usaha dengan penuh kesetiaan, keazaman dan komitmen demi menentukan kecemerlangan ATM.
Terdahulu, PAT telah mengambil Tabik Hormat serta memeriksa perbarisan menggunakan Kenderaan Perisai 8×8 GEMPITA.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima-Panglima Formasi dan pegawai kanan ATM.