PAHANG: “Kor Risik Diraja (KRD) akan terus berusaha untuk meningkatkan keupayaan dan pembangunannya demi mewujudkan sebuah organisasi yang versatil dan mampan.
“Dengan sokongan serta kepercayaan penuh oleh kerajaan dan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya, saya amat yakin matlamat kewujudan KRD akan terus relevan demi kedaulatan negara.
“Bagi menggalas amanah dipertanggungjawabkan, warga KRD perlulah bersatu teguh serta mempunyai esprit de corps, moral yang tinggi, profesional, berketerampilan unggul dan menzahirkannya ke tahap yang membanggakan.
“Usaha menanam dan meningkatkan semangat perlu diterapkan di setiap peringkat sepertimana diseru oleh pucuk pimpinan TD,” tegas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal merangkap Pengerusi KRD.
Tambah beliau lagi, semangat kebersamaan sebagai warga KRD penting untuk diwujudkan dalam mencapai matlamat tanpa mengira halangan yang bakal ditempuhi.
“Semangat ini dapat dicapai bagi menentukan sistem penyampaian maklumat yang berkesan berlaku di setiap lapisan pegawai dan anggota.
“We must live together as brothers and sisters or perish alone as fools,” jelas KPPP semasa menyampaikan ucapan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KRD Ke-54 bertempat di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 7 Nov 2023.
Terdahulu, ketibaan KPPP disambut oleh Pengarah KRD, Brig Jen Mohd Raslam Hj Dollah lalu menerima tabik hormat dari Ketua Perbarisan, Pegawai Memerintah 91 Grup Operasi Perisikan (91 GOP), Lt Kol Mohd Firdaus Rapheigh @ Raffie.
Seramai 18 pegawai dan 231 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KRD melibatkan lima detasmen terlibat dalam perbarisan berjalan lalu yang diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja (RRD) di bawah pimpinan Lt DOM Mohd Fahmy Harun.
Bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan yang ditunjukkan oleh warga KRD, KPPP menyampaikan Anugerah Kecemerlangan KRD kepada 11 pegawai dan 12 anggota LLP yang menunjukkan prestasi cemerlang serta memperolehi pencapaian yang membanggakan dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Kursus di dalam serta luar KP ATM dan Anugerah Kecemerlangan kategori Penglibatan Sukan.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan dan acara memotong pulut kuning sempena sambutan HUT KRD Ke-54 serta sesi beramah mesra bersama warga veteran KRD.
Turut hadir, mantan Pengerusi KRD, Lt Jen Dato’ Sri Azzuddin Ahmad (Bersara), Timbalan KPPP, Mej Jen Dato’ Mohd Razali Alias, Pengerusi Kelab Veteran Risik Malaysia (KVRM), Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali (Bersara), Asisten Ketua Staf Perisikan, Brig Jen Abu Hashim Jamaludin, Pegawai Kanan KRD dan veteran KVRM.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Shukri Suhaimi, LKpl Fadzil Akirul, Pbt Shafirin Radzi, Pbt Nik Aashraf & Pbt Tuan Farizal