KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Brig Jen Dato’ T. Azharan T. Putra melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran atas sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen Semboyan Diraja (RSD) Ke-71 Jubli Platinum di Padang Kawad Cawangan Rejimental, Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED), Kem Perdana Sungai Besi pada 15 Nov 2023.
“Saya menyeru agar seluruh warga RSD sentiasa bersatu hati dan membulatkan tekad untuk menggembleng usaha dalam memastikan cabaran-cabaran tersebut dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
Terdahulu, Pengerusi Kor RSD menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan melibatkan tiga detasmen berkekuatan seramai 16 pegawai dan 296 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Fakhrin Ab Aziz serta diiringi Brass band Wanita RSD.
Seterusnya, perbarisan diteruskan dengan penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS), Sijil Kepujian Perkhidmatan Awam dan kenaikan pangkat pegawai dan anggota RSD yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Kor RSD.
Mengimbau kembali pencapaian RSD sehingga ke hari ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan kor keramat ini sentiasa relevan dan terus memberikan khidmat bakti yang cemerlang kepada Tentera Darat (TD) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dengan aspirasi angkatan masa hadapan.
“Selain itu, sebagaimana semua sedia maklum, RSD telah menjalinkan kerjasama dengan Open Universiti Malaysia (OUM) sejak tahun 2004 dan telah berjaya melahirkan seramai 567 foreman dan yeoman semboyan berkelulusan diploma teknologi maklumat serta bakal melahirkan seramai 17 foreman dan 3 yeoman berkelulusan ijazah sarjana muda teknologi maklumat pada tahun 2024,” ujarnya.
Majlis diakhiri dengan upacara memotong kek sebelum diteruskan jamuan makan di Dewan Makan Desatera.
Turut hadir, Mantan Pengerusi Kor RSD, Mej Jen Dato’ Ahmad Saifuddin Talha dan Pegawai-Pegawai Kanan TD.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi