KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman selaku Kol Yang Dipertua (YDP) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mencemar duli bagi menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Sultan Sallehuddin (PSS) Tahun 2023 di antara 14 RAMD (Mek) dan 25 RAMD bertempat di Stadium KEMENTAH pada 25 Nov 2023.
Terdahulu ketibaan baginda disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri merangkap Pengerusi RAMD.
Perlawanan ini merupakan acara tahunan bagi RAMD bertujuan untuk mengenal pasti serta memilih pemain-pemain baharu yang akan mewakili rejimen dalam perlawanan peringkat TD selain ianya dapat memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan mengeratkan lagi hubungan setiakawan.
Perlawanan yang berlangsung selama 90 minit menyaksikan kedua-dua pasukan masih terikat dengan jaringan 2-2 dan diteruskan dengan acara sepakan penalti bagi menentukan pemenang.
25 RAMD dinobatkan sebagai juara sekaligus menjulang Piala Sultan Sallehuddin selepas mengungguli penentuan sepakan penalti dengan jaringan 4 gol berbalas 2 menewaskan 14 RAMD (Mek).
Penjaring Terbanyak kejohanan dianugerahkan kepada Kpl Mohd Fazdli Saidon manakala Pemain Terbaik kejohanan dinobatkan kepada Kpl Mohd Idrus Sham Shaari masing-masing dari 25 RAMD.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato Seri Hj Norizan Khazali, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mej Jen Datuk Mohamed Fauzi Kamis, wakil pesara RAMD, Mej Jen Dato Wira Md Tajri Alwi (Bersara), dan Pegawai-pegawai kanan RAMD.
Gambar: LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Nanatasha Ngadan