JOHOR: Ribuan penonton memberikan sorakan gemuruh saat menyaksikan aksi terjun bebas dari 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) dan pancaragam gabungan Tentera Darat (TD) yang merupakan antara pengisian Persembahan TATU TD sempena Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-91 yang julung kali diadakan di Dataran Segamat pada 1 Mac 2024.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan turut menyemarakkan suasana dengan mendendangkan dua buah lagu diiringi pancaragam gabungan TD sekaligus menerima tepukan gemuruh daripada para penonton.
Sambutan HTD yang bertemakan ‘Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga’ menggambarkan usaha TD dalam memberikan pengalaman pertama kepada penduduk Segamat untuk merasai kebersamaan dengan warga TD.
Walaupun ianya diadakan pada sebelah malam, namun orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama warga TD menyaksikan sendiri kehebatan dan kehangatan acara yang dibawakan kepada penduduk Segamat.
Hampir 2,000 anggota TD mengambil bahagian dalam pelbagai pertunjukan termasuk acara kemuncak aksi lagak ngeri oleh Tim Akrobatik Motosikal TD yang dikenali sebagai Army Red Warrior (ARW) di mana SSjn Saidatul Husna Kamaruddin mencuri tumpuan penonton dengan melakukan lompatan melepasi tiga buah kereta.
Antara persembahan lain yang dipamerkan termasuklah Kawad Senyap, Tarian Perang, Drum Line, Tempur Tanpa Senjata (TTS) dan pertunjukan aset TD iaitu Anjing Perang.
Selain pertunjukan, TD turut menganjurkan acara cabutan bertuah dengan menyediakan hadiah berupa tiga buah motosikal yang dibuka secara percuma kepada pengunjung Karnival TD.
Acara juga disertai dengan penyerahan Buku Kor/Rejimen kepada PTD yang menyifatkan sambutan orang ramai di Dataran Segamat amat luar biasa kerana ia dihadiri lebih 10,000 pengunjung.
Sambutan HTD Ke-91 ini juga menampilkan pameran kerjaya dan aset-aset TD bermula seawal 28 Feb 2023 bagi menambahkan lagi keseronokan kepada para pengunjung yang hadir.
Gambar: LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi