KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan merakamkan penghargaan kepada para jurulatih dan pihak pengurusan Persatuan Menembak Tentera Darat (TD) atas dedikasi mereka dalam memastikan persiapan rapi pasukan negara menghadapi cabaran Asean Armies Rifle Meet (AARM) Ke-32 yang akan berlangsung di Filipina mulai 12 hingga 23 Nov 2024.
Beliau menekankan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan ini untuk memberikan saingan sengit berdasarkan pengalaman serta latihan intensif yang telah dijalankan.
“Saya optimis pasukan kita mampu memberi cabaran lebih hebat berbanding tahun lalu dimana kita berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dalam Pertandingan AARM Ke-31,” ujar beliau.
PTD turut menasihati para anggota untuk kekal fokus dan berdisiplin dalam usaha membawa pulang kejayaan demi mengharumkan nama Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Kalian harus sentiasa cekal, kental dan fokus sehingga ke akhirnya bagi menjulang nama baik organisasi yang kita cintai ini,” pesan PTD ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Kepada Tim Menembak TD yang diadakan di Dewan Cempaka, Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 4 Nov 2024.
Bendera TD diserahkan kepada Pegawai Memerintah Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) (Para), Lt Kol Salmuazhari Md Salleh selaku Pengurus Persatuan Menembak TD yang akan mengetuai pasukan dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan AARM bukan sekadar medan menguji kemahiran menembak, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan diplomasi pertahanan di persada serantau sekaligus mendukung Teras Kelima Perintah Ulung PTD Ke-30 iaitu Anjakan Diplomasi Pertahanan.
Terdahulu dalam majlis yang sama, PTD telah menyempurnakan upacara pemakaian pangkat dari Kpl ke Sjn kepada sembilan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Persatuan Menembak TD.
Beliau berpesan bahawa kenaikan pangkat ini bukan hanya suatu penghormatan, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul.
“Pangkat yang dianugerahkan ini diharap menjadi pemangkin motivasi dan peniup semangat untuk anda semua terus mempamerkan kecemerlangan serta profesionalisme dalam menjalankan tugas,” ujar beliau.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat merangkap Pengerusi Lembaga Sukan TD, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Panglima 10 Briged (Para), Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal.