PULAU PINANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri, Puan Sri Datin Wira Hartiah Hamzah selaku Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat meluangkan masa mengadakan lawatan kebajikan keatas anggota Tentera Darat (TD) yang berkhidmat dibawah naungan Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) bertempat di Rumah BAKAT 2 Div, Kem Tun Razak pada 7 Nov 2024.
Lawatan kebajikan seperti ini menunjukkan keprihatinan pucuk pimpinan TD dalam memastikan sokongan yang berterusan terhadap anggota anggota serta keluarga demi memastikan moral serta kesejahteraan warga TD sentiasa terjamin.
Terdahulu, ketibaan beliau disambut oleh Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Hj Fazal Hj Abdul Rahman lalu diteruskan dengan lawatan dan penyampaian sumbangan.
PTD memulakan lawatan kebajikan dengan menyantuni Kpl Mohamad Zufazrul Mohd Nawi yang mengalami kecederaan saraf tunjang serta Sjn Mohamad Solihin Subari yang menghidapi Traumatic Spinal Cord Injury.
Seterusnya, anak kepada Sjn Mohamad Hafizzudin Hussain yang menghidap penyakit Cerebral Palsy, anak Kpl Mohamad Faridzul Hafiz Yahaya menghidap penyakit tumor otak, isteri kepada LKpl Muhamad Redzuan Wahab iaitu Puan Qurratu’aini Zulkifli menghidap barah payudara dan isteri kepada PW II Hamzah Abu Bakar menghidap Kanser Tiroid, penyakit buah pinggang serta masalah penglihatan turut mendapat perhatian serta sumbangan daripada PTD dan isteri.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Norsham Md Tap.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul dan LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husien