KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Brig Jen Dato’ Ts. Tuan Azharan Tuan Putra melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran atas sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) RSD Ke-72 yang dilaksanakan dengan penuh adat tradisi rejimental serta semangat perbarisan ditunjukkan oleh 15 pegawai dan 296 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
“Saya menyeru kepada semua warga RSD agar terus bersama-sama memertabatkan serta memperjuangkan agenda RSD agar selari dengan amanat Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Panglima Tentera Darat (PTD),” ujar Pengerusi RSD ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan HUT RSD Ke-72 di Padang Kawad Cawangan Rejimental, Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) pada 15 Nov 2024.
Tambahnya lagi, dengan berpaksikan panduan strategik PAT, PTD telah menetapkan hala tuju Tentera Darat (TD) melalui tiga penumpuan iaitu Sinergi 3M (Man Machine and Method) yang digarap adalah tertumpu kepada pengukuhan modal insan, keupayaan ketenteraan dan kebolehoperasian.
“Bagi menyokong hasrat PAT serta PTD, hala tuju RSD sebagai satu ketumbukan TD yang utama harus digarap dengan sempurna agar sentiasa kekal relevan dan dapat melaksanakan tugas dalam apa jua keadaan.
“Selaku Pengerusi RSD, pengolahan dan pengukuhan agenda tranformasi serta way forward RSD menjadi keutamaan dimana kita perlu menonjol agar dilihat sebagai sebuah ketumbukan yang komited dan jitu.
“Justeru, ingin saya tekankan bahawa semua lapisan pemerintahan perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan momentum transformasi RSD ke arah Angkatan Masa Hadapan tidak tergendala,” tegasnya.
Terdahulu, Pengerusi RSD menerima tabik hormat serta memeriksa perbarisan yang terdiri daripada empat detasmen diketuai oleh Lt Kol Mohd Redzuan Osman dari Markas Operasi Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (MOSEP).
Dalam perbarisan ini, Pengerusi RSD turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada 19 warga RSD dan Sijil Kepujian Perkhidmatan kepada tiga staf awam yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan mereka.
Seusai perbarisan, acara diteruskan dengan gimik Perasmian Pakej CelcomDigi – Koperasi Rejimen Semboyan Diraja (KORSEM) yang disempurnakan di Foyer Dewan Desatera.
Kerjasama ini bertujuan menyediakan pelan komunikasi yang berpatutan untuk anggota tentera dan keluarga, memudahkan akses rangkaian CelcomDigi serta menyokong kesejahteraan anggota RSD melalui pakej istimewa.
Majlis berakhir dengan jamuan makan dan acara memotong kek bagi meraikan HUT RSD Ke-72.
Turut hadir, Pengarah Kanan Operasi Strategik dan Pembangunan Bahagian Siber Elektromagnetik dan Pertahanan, Brig Jen Ts. Hamidi Achin dan Pengarah Peperangan Informasi Malaysian Defence Intelligence Organization, Brig Jen Dr. Adnan Ajis.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Pbt Nanatasha Ngadan