KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan bahawa penganugerahan pangkat ini bukan sekadar simbol penghormatan, tetapi ia adalah pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan komitmen seseorang anggota tentera.
“Setiap amanah yang dipikul memerlukan semangat dan dedikasi yang tinggi bagi memastikan tanggungjawab dilaksanakan dengan penuh integriti,” ujarnya.
Beliau turut menekankan pentingnya nilai-nilai utama seperti integriti, dedikasi, empati dan amanah dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Keputusan yang bijaksana bukan sahaja memastikan kelangsungan tugas tetapi juga mengukuhkan kepercayaan yang diberikan oleh anggota bawahan,” jelas PTD ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai-Pegawai Tentera Darat (TD) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 18 Nov 2024.
Dalam pada itu, PTD juga memberi penghargaan kepada keluarga anggota tentera yang dianggap sebagai tulang belakang dan sumber kekuatan yang memberikan sokongan moral yang amat penting dalam menjalankan tugas.
Beliau turut menyeru semua anggota tentera untuk terus memegang teguh nilai-nilai kesatria yang menjadi asas kepada profesion ketenteraan.
“Jadikan pangkat sebagai motivasi untuk meningkatkan keazaman, menambah ilmu dan pada masa sama mengekalkan sifat rendah hati dalam memimpin,” pesan PTD.
Dalam majlis ini menyaksikan seramai 21 pegawai TD dinaikkan pangkat didahului dengan Brig Jen Dato’ Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee yang dinaikkan ke pangkat Mej Jen dan menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD).
Kemudian diikuti pemakaian pangkat Brig Jen melibatkan Kol (Dr) Mohd Fazlizam Ahmad yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Rehabilitasi dan Pakar Perubatan Sukan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan manakala Lt Kol Ir. Zulkeri Noordin dinaikkan ke pangkat Kol dan menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah 92 Unit Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera (92 UPKAT).
Seterusnya, seramai 16 pegawai dipakaikan pangkat Lt Kol yang mana dua daripadanya Lt Kol (Tugas Ikhtisas) dan seorang pegawai dinaikkan ke pangkat Mej (Tugas Khas) sebelum diakhiri dengan pemakaian pangkat Lt M ke atas seorang Pegawai Kadet lepasan Royal Military College di Duntroon, Australia.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein