MELAKA: Seramai empat pegawai dan 39 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) melafazkan Ikrar 12 Sumpah Perajurit Komando dengan penuh semangat dan kebanggaan setelah membuktikan kecekalan luar biasa dalam menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/3/2024 di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) pada 4 Jan 2025.
Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Ahmad Suhaimi Mat Wajab mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penuntut yang dianugerahkan Beret Hijau dan Pisau Komando setelah berjaya mengharungi pelbagai pahit getir dan cabaran dengan jayanya selama tiga bulan.
Beliau berpesan bahawa keagungan Beret Hijau yang dipakai perlulah sentiasa dipelihara dan dipertahankan hingga ke titisan darah yang terakhir kerana ianya merupakan maruah dan lambang kebanggaan Gerak Khas.
“Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dianugerahkan terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan masalah tatatertib atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan.
“Harus diingat bahawa Gerak Khas adalah elemen ‘Tip of the Spear’ kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat (TD) dalam menangani apa saja ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” tegas Panglima 21 GGK ketika berucap dalam upacara penutup.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru kepada semua warga 21 GGK agar sentiasa berdaya saing dalam meningkatkan kefahaman agar kekal kompetitif di kalangan pegawai dan anggota ATM amnya dan TD khususnya.
“Dengan pelancaran Strategi Domain Darat (SD²), kita harus peka dan memahami panduan ini agar 21 GGK terus relevan dan dapat mendukung Angkatan Masa Hadapan (AMH) seperti yang digariskan di dalam Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0) supaya tidak ketinggalan dalam arus pemodenan ATM,” jelasnya.
Terdahulu, acara dimulakan dengan pertunjukan demonstrasi serbuan pantai, penyelamatan tawanan perang, persembahan seni mempertahankan diri dan demonstrasi terjun bebas membawa bendera.
Demonstrasi tersebut memberi gambaran jelas tentang kesiapsiagaan pasukan Gerak Khas dalam menghadapi ancaman semasa serta menunjukkan kepakaran mereka sebagai tunjang kepada kedaulatan negara dan benteng pertahanan negara yang tidak ternilai.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian anugerah Penuntut Terbaik kepada Lt M Awang Suhaili Udin dari Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD) di atas pencapaian cemerlang dalam kursus.
Upacara perbarisan diteruskan dengan lafaz ikrar 12 Sumpah Perajurit Komando oleh para peserta kursus dan penyerahan bendera kepada Ketua Cawangan Komando sebagai tanda berakhirnya kursus.
Turut hadir, Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Samsyawal Muhamad, Ketua Staf Perkhidmatan 21 GGK, Brig Jen Mohamad Musyadi Abdul Mutalib dan Komandan PULPAK, Kol Mohd Rizal Mohd Zambran.
Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Pbt Nanatasha Ngadan