KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Mej Jen Abd Wahab Geoh atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi sepanjang 39 tahun menabur bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).
“Beliau telah mencurahkan keringat dan bakti serta mengorbankan seluruh jiwa raganya kepada perkhidmatan yang disayangi ini.
“Ketokohan dan keterampilan beliau yang cemerlang ini wajar dicontohi oleh seluruh warga KPTD untuk terus kekal cemerlang sebagai sebuah ketumbukan yang unggul dan kredibel,” ujar TPTD ketika berucap dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Abd Wahab Geoh di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) pada 19 Feb 2025.
Perbarisan berkonsepkan berjalan lalu secara perlahan dan cepat ini terdiri daripada empat detasmen melibatkan seramai 15 pegawai dan 185 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KPTD yang diketuai oleh Lt Kol Muhammad Hilmi Hashim dari 21 Skuadron KPTD.
Menelusuri latar belakang Mej Jen Abd Wahab Geoh beliau telah menyertai ATM pada 23 Mac 1986 dan ditauliahkan pangkat Lt M pada tanggal 4 Apr 1987 dan seterusnya memulakan kerjaya sebagai seorang Pegawai Muda di 103 Kompeni KPTD.
Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh beliau adalah sebagai Pegawai Memerintah Rejimen Ketiga KPTD, Pegawai Staf 1 Provos Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD), Pegawai Staf 1 Am Jabatan Arah KPTD, Komandan Pusat Latihan KPTD, Ketua Cawangan Siasatan Jenayah Markas 48 Cawangan Siasatan Jenayah KPTD, Provos Marsyal TD dan jawatan terakhir beliau adalah Pengarah KPTD Ke–14, Pengarah KPTD Ke–16 serta turut dilantik sebagai Pengerusi KPTD Ke–12.
Acara kemudian diteruskan dengan sesi bergambar dan penyampaian cendera kenangan sebelum diakhiri dengan acara Send Off sebagai simbolik penghargaan warga KPTD kepada Mej Jen Abd Wahab Geoh.
Turut hadir, Pengerusi KPTD, Brig Jen Shamsulakmar Hj Ismail dan Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Syfiqrullah Mazlan