PERAK: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mej Jen Dato’ Hj Abu Hasan Assha’ari Hj Kamis @ Shaffiee di atas segala khidmat bakti, jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang hampir empat dekad perkhidmatannya kepada negara.
“Mej Jen Dato’ Hj Abu Hasan Assha’ari bukan sekadar seorang pegawai kanan, tetapi seorang pemimpin berwibawa yang sentiasa menjadi contoh dalam aspek kepimpinan dan disiplin.”
“Ketokohan serta keterampilan cemerlang beliau wajar dicontohi oleh seluruh warga Rejimen Renjer Diraja (RRD) bagi memastikan ketumbukan ini kekal unggul, kredibel, dan berjaya dalam melaksanakan misi Tentera Darat (TD),” ujar TPTD semasa berucap dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Hj Abu Hasan Assha’ari di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) pada 20 Feb 2025.
Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat Jalan ini terdiri daripada empat detasmen berkekuatan seramai 16 pegawai dan 275 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah 2 RRD, Lt Kol Ahmad Faizal Abdul Latiff.
Menelusuri latar belakang Mej Jen Dato’ Hj Abu Hasan Assha’ari, beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia pada 24 Mac 1986 sebelum ditauliahkan sebagai Lt M pada 4 Apr 1987 dan sejak itu beliau terus menonjol dalam perkhidmatan dengan menjawat pelbagai jawatan penting di peringkat TD mahupun ATM.
Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh beliau adalah Pegawai Staf 1 Tadbir di Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (MK 1 Div), Pegawai Staf Sekretariat Majlis Angkatan Tentera di Pejabat Ketua Setiausaha KEMENTAH, Penasihat Ketenteraan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) dan Pengarah Pengurusan dan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD).
Sepanjang kerjayanya, beliau turut terlibat dalam operasi besar negara termasuk kejayaan Operasi Daulat di Lahad Datu, kejayaan Operasi Merpati dengan rampasan dadah bernilai RM2.3 juta serta kepimpinan cemerlang yang membawa Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) meraih Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik pada tahun 2022.
Sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat baktinya, beliau telah dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Kesateria Mahkota Kelantan (D.P.K.K) dan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T).
Sejurus tamat perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati, jamuan makan serta tayangan video montaj di Dewan Pinyuntunan sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan ke atas Mej Jen Dato’ Hj Abu Hasan Assha’ari.
Turut hadir, Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mej Jen Datuk Abdul Rahman A Wahab, Panglima 2 Bgd, Brig Jen Rosli Abu Bakar dan Pengarah Infantri, Brig Jen Saiful Bahari Zainol.
Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram Halib & Pbt Syfiqrullah Mazlan