KEDAH: Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ‘25) membuka tirai dengan penuh aksi apabila 25 buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghiasi ruang udara Langkawi dalam pertunjukan aerobatik sempena Majlis Perasmian LIMA ‘25 di kawasan Tarmac Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 20 Mei 2025.
Dengan tema ‘Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’, LIMA ‘25 yang berlangsung selama lima hari mulai 20 hingga 24 Mei 2025 mengetengahkan teknologi terkini dan aset pertahanan canggih dalam dua segmen utama iaitu aeroangkasa di MIEC dan maritim di Resorts World Langkawi (RWL).
Terdahulu, Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin menyempurnakan Majlis Pelancaran LIMA ’25 yang dimeriahkan dengan gimik perasmian formasi mengagumkan oleh 25 buah pesawat milik TUDM termasuk pesawat pejuang, pengangkut, latihan dan helikopter.
Antara yang mencuri tumpuan ialah demonstrasi udara oleh pesawat F/A-18D dan SU-30 MKM serta kemunculan sulung pesawat Sukhoi berwajah baharu yang diberi gelaran ‘Toruk Makto’.
Selain itu, kehebatan aksi pasukan aerobatik Russian Knights dari Rusia dan Jupiter dari Indonesia turut memukau para pengunjung yang hadir.
Acara dwitahunan anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) ini terus menjadi platform strategik dalam menampilkan kekuatan serta kemajuan teknologi pertahanan Malaysia di persada antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri 2, Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Datuk Hj Mohd Nizam Hj Jaffar.
Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi, Kpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir.