PAHANG: Seramai 21 pegawai dan 292 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Ordnans Diraja (KOD) terlibat dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KOD Ke-68 bertempat di Padang Kawad 93 Depot Pusat Peluru (93 DPP) pada 15 Jul 2025.
Terdahulu, acara dimulakan dengan gimik persembahan sejarah ragaan KOD yang menceritakan tentang Sejarah Lambang Rasmi KOD yang diwarisi dari Royal Army Ordnance Corps sebelum diteruskan dengan Perbarisan Masuk Padang secara Human Wave daripada anggota perbarisan yang terdiri dari enam detasmen diketuai oleh Lt Kol Dr Saiful Azuwar Abd Halim dari Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat (MK PLTD).
Turut berlangsung adalah penyampaian Sijil Penghargaan Pengerusi KOD kepada sembilan pegawai, tujuh anggota LLP dan lapan staf awam yang telah menunjukkan dedikasi serta kecemerlangan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Pengerusi KOD, Brig Jen Dato’ Hj Suhaimi Mat Isa dalam perutusannya merakamkan setinggi kesyukuran diatas pencapaian serta kecemerlangan KOD seiring dengan usianya yang telah menjangkau 68 tahun yang sentiasa memainkan peranan penting dari segi bantuan logistik kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.
“Hari ini genaplah 68 tahun usia KOD sebagai salah satu elemen penting bagi memastikan kelangsungan misi dan kesiagaan TD.
“KOD merupakan subject matter expert dalam pengurusan aset, stor, pakar dalam pengurusan peluru dan bahan letupan serta pencetakan.
“Pengurusan logistik bukan sekadar elemen sokongan tetapi merupakan merupakan penentu utama kejayaan sesebuah operasi.
“Selaras dengan Pembangunan TD ke arah angkatan yang lebih kredibel, relevan dan teguh menjelang tahun 2055, KOD telah merangka pelan pembangunan berlandaskan strategi army way forward yang memfokuskan kepada sistem perintah dan kawalan, keupayaan tempur, integrasi teknologi dan digitalisasi serta peningkatan profesionalisme anggota.
“Dalam era ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencengkam, ancaman pada masa hadapan akan berlaku secara hybrid dan akan muncul dalam bentuk yang tidak terduga, oleh itu saya menyeru kepada semua warga KOD untuk sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran untuk menjadi warga logistik yang disegani dan dihormati”. Tegas beliau.
Di samping itu, beliau turut berpesan kepada semua warga KOD agar tidak terlibat dalam masalah disiplin serta salah guna kuasa yang dapat mencemarkan imej KOD, akan tetapi setiap warga KOD hendakkan membina jati diri yang positif yang boleh dicontohi oleh orang lain.
Turut hadir, Timbalan Panglima Logistik TD, Brig Jen Mohd Ridza Deris dan Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik MK PMTTD, Brig Jen Hj Mod Athiyah Hj Hassan.