PERAK: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim merasmikan Pembukaan Eksesais KERIS STRIKE Siri 30/2025 melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), United States Army Pacific Command (USARPAC) dan Australian Army yang berlangsung di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) pada 17 Jul 2025.
Latihan ketenteraan tiga hala ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia menerusi peningkatan interoperabiliti, kesiapsiagaan operasi serta perkongsian ilmu dalam aspek taktikal dan strategik bagi menghadapi pelbagai cabaran keselamatan serantau.
Penganjuran siri ke-30 ini merangkumi Staff Exercise (STAFFEX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Civil-Military Cooperation Programme (CIMIC), Cross Training Excersise (CTX) dan Field Training Excersise (FTX) melibatkan ketiga-tiga negara.
Pendekatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada anggota untuk berlatih bersama secara langsung, malah memperkukuh hubungan diplomatik dan persefahaman dalam pelaksanaan operasi ketenteraan secara bersama.
Selain menguji keupayaan taktikal, eksesais ini turut mencerminkan keutuhan persahabatan dan menjadi landasan penting ke arah kerjasama strategik yang lebih mendalam demi mengekalkan kestabilan dan keselamatan serantau.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Muhammad Nor Akram Halib