PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Dataran Pahlawan pada 31 Jul 2025.
Istiadat sambutan yang dinaungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkonsepkan perbarisan statik melibatkan empat detasmen terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).
Acara dimulakan dengan persembahan lagu Negaraku, diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan oleh Mej Hafizan Mat Ghani daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).
Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama.
Perbarisan ini melibatkan seramai 18 pegawai dan 685 anggota Lain-Lain Pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Superitendan Mohamad Ridzuan Roslan daripada PDRM.
Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai Last Post dengan menurunkan Jalur Gemilang dan semua tetamu yang hadir berdiri memberikan tabik hormat semasa Jalur Gemilang diturunkan.
Pengisian istiadat diteruskan dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk ‘Darah Yang Terpercik di Baju’ yang disampaikan oleh Detektif Sjn Ardiansyah Wayang daripada PDRM dan SSjn Siti Nur Aini Jasni daripada ATM.
Sajak yang mengisahkan tragedi serangan hendap oleh pengganas komunis terhadap konvoi pasukan ATM yang membawa pesakit dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Pengkalan Hulu, Perak pada 20 Jul 1979.
Pertempuran berdarah itu telah mengorbankan tiga anggota ATM iaitu Kpl Ramli Abdul Rashid, Pbt Azmi Rahman dan Pbt Abu Hassan Syeikh Daud.
Istiadat diteruskan dengan persembahan pantomim khas bertajuk ‘Zabri, Pejuang Sang Saka Biru’ oleh PDRM, arahan Komander PGA Briged Tengah SAC Hakemal Hawari yang membawa penonton menyaksikan kisah perwira legenda Komando VAT69 PDRM ASP Mohd Zabri Abdul Hamid.
Kisah perjuangan Mohd Zabri yang terkenal sebagai legenda Kerambit Kembar ‘dihidupkan semula’ selama kira-kira 15 minit itu dilakonkan oleh 142 pegawai dan anggota PDRM, dengan disusuli video menggunakan 80 peratus teknologi kecerdasan buatan (AI) hasil kreativiti pasukan produksi PDRM untuk tujuan ilustrasi berdasarkan kisah benar.
Pantomim itu berkisarkan Allahyarham Mohd Zabri yang terkorban dalam tragedi serangan hendap pengganas komunis pada 1975. Mohd Zabri yang dalam misi mengejar dan menyekat pengganas dari cuba melarikan diri ke sempadan dan terpijak jerangkap samar.
Jerangkap samar itu menyebabkan pergelangan buku lali kanan sehingga paras kasut but yang dipakainya putus dan Mohd Zabri kehilangan banyak darah.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir Mohd Zabri sempat menyampaikan amanat kepada anak buahnya untuk meneruskan perjuangan memburu petualang negara dan menghancurkan mereka biarpun dirinya sudah tiada lagi.
Istiadat diteruskan dengan tiupan Paluan Fajar, Jalur Gemilang dinaikkan sebagai tanda memberi semarak kepada pahlawan untuk terus bangkit berjuang dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara.
Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan sejak 31 Jul 1960 merupakan simbol penghargaan serta pengiktirafan negara terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian pegawai, anggota PDRM dan ATM sama ada yang telah gugur atau masih hidup dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara tercinta.
Istiadat itu juga menzahirkan lambang ketaatsetiaan, kemegahan dan semangat yang tidak berbelah bahagi oleh pasukan PDRM dan ATM terhadap raja serta negara.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Mohammad Syfiqrullah Mazlan dan Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri