KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan meluangkan masa menghadiri Country Offsite Visit bersama peserta-peserta IPACC dan SELF bersempena dengan penganjuran Forum Ketenteraan Serantau bertempat di Taman Eko Rimba Komanwel pada 24 Sep 2025.
Ketibaan PTD disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman sebelum acara dimulakan dengan gimik persembahan Tarian Ngajat dan diikuti lawatan ke booth serta pameran kenderaan perisai oleh Syarikat Mildef International Technologies.
Seterusnya, PTD turut diberikan taklimat mengenai Peperangan Melawan Insurgensi (PMI) serta dipertontonkan dengan demonstrasi menduduki pangkalan, masakan medan dan ikhtiar hidup.
Program ini dilihat menjadi platform pertukaran pendapat selain berkongsi kepakaran strategik serta pengukuhan kerjasama ketenteraan di rantau Indo-Pasifik.
Turut hadir, Chief of Staff of the United States Army, General Randy A. George, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar dan Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & LKpl Muhammad Syfiqrullah Mazlan