NEGERI SEMBILAN: Bertemakan ‘Honoring the Legacy, Uniting the Corps, Inspiring the Future’, Pengerusi Kor Armor Diraja (KAD) Ke-18, Mej Jen Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin menyeru seluruh warga KAD agar terus menghargai legasi perjuangan terdahulu, memperkukuh kesatuan kor serta menyalakan ilham untuk masa depan yang lebih gemilang.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil pengorbanan dan jasa para perwira terdahulu yang telah berjuang mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Para veteran merupakan legasi paling bernilai yang mesti dihargai, bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi melalui tindakan berterusan seperti bantuan kebajikan dan pengiktirafan terhadap jasa mereka,” ujar beliau.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar KAD tidak hanya terletak pada kehebatan aset atau kemajuan teknologi, tetapi berpaksikan semangat kesatuan dan kepercayaan sesama warga kor.
“Semangat ‘esprit de corps’ perlu dipupuk agar semua lapisan saling mempercayai dan menghormati kerana kesatuan inilah yang menjadi benteng keteguhan serta keunggulan Kor Armor Diraja,” tegasnya lagi.
Beliau juga menyeru seluruh warga KAD agar berfikiran maju dan inovatif dalam mendepani cabaran pertahanan moden yang semakin kompleks.
“Setiap cabaran perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh kemahiran dan melahirkan anggota yang cekap serta berdaya saing.
“Kepimpinan tertinggi KAD komited memperjuangkan kebajikan, pembangunan profesional dan kesejahteraan seluruh warga termasuk para veteran,” jelasnya ketika berucap dalam Majlis Jamuan Makan Hari Ulang Tahun (HUT) KAD Ke-73 di Garaj KJA Skn Surv 2 KAD pada 4 Okt 2025.
Terdahulu, sambutan HUT dimulakan dengan acara perbarisan melibatkan enam detasmen berkekuatan seramai 30 pegawai dan 408 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) disertai 23 Kenderaan Jenis Alpha dan 13 ekor kuda diketuai oleh Pegawai Memerintah Skuadron Armor Para, Lt Kol Hairul Nizam Ibrahim dengan diiringi Pancaragam Pusat KAD bertempat di Padang Kawad 2 KAD, Port Dickson.
Perbarisan ini menyaksikan Anggota Nafiri melaksanakan ‘Charge Call’ dimana ianya merupakan satu simbolik kepada anggota perisai armor untuk mara ke medan pertempuran.
Pemeriksaan Berjalan Lalu Berkenderaan turut menampilkan aset utama KAD termasuk Kereta Perisai Gempita 8×8, Pendekar PT-91M dan Lipan Bara 4×4 yang menjadi lambang kekuatan serta keupayaan tempur kor ini.
Turut hadir, Pengerusi KAD Ke-17, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan, Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mej Jen Dato’ Mohammad Razeif Che Ahmad, Pengarah KAD, Brig Jen Dato’ Mohd Fazly Mat Said, Panglima 4 Briged (Mekanize), Brig Jen Dato’ Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah, Pegawai Tugas Khas Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Brig Jen Mohamed Najmi Mohd Sharawi dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Bilah Shah.
Oleh: Pbt Nanatasha Ngadan
Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram Halib & LKpl Muhammad Syfiqrullah Mazlan