Bersama PemimpinSemasa

Beret Hijau Bukan Hiasan – Panglima 21 GGK

JOHOR: “Beret hijau yang anda junjung bukanlah hiasan, ianya adalah sumpah dan janji yang terikat dengan sebuah perjuangan,” tegas Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mej Jen Dato’ Ahmad Suhaimi Mat Wajab ketika menyempurnakan Perbarisan Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/2/2025 dan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas di Tanjung Leman, Mersing pada 5 Okt 2025.

Beliau menekankan bahawa keagungan beret hijau perlu sentiasa dipelihara dan dipertahankan hingga ke titisan darah terakhir kerana ia melambangkan maruah dan kehormatan setiap anggota pasukan elit negara.

“Anda semua adalah aset yang tidak ternilai bagi Angkatan Tentera Malaysia, janganlah leka dengan kejayaan hari ini kerana perjalanan sebenar baru bermula dalam operasi khas yang penuh rahsia tetapi meninggalkan kesan dalam sejarah negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, kejayaan menamatkan kursus bukan sekadar milik individu, tetapi turut menjadi milik keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang perjuangan.

“Di sebalik setiap langkah menempuh cabaran tersimpan doa seorang ibu, dorongan seorang ayah serta kasih isteri dan anak-anak yang setia menanti kepulangan anda,” ujarnya.

Di samping itu, Panglima 21 GGK turut mengingatkan agar setiap anggota menjaga nama baik pasukan dan memelihara disiplin diri pada setiap masa.

“Amat malang sekali jika beret hijau yang dianugerahkan terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan masalah tatatertib seperti buli, hutang, judi, dadah, ketum atau Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC).

“Jadilah operator pasukan khas yang kompeten dan versatil kerana Gerak Khas adalah ‘Tip of the Spear’ kepada ATM,” pesannya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan demonstrasi penyusupan melalui perairan bagi melaksanakan tinjauan ke sasaran dan diikuti serbuan menyelamatkan tawanan perang yang dipersembahkan oleh penuntut kursus.

Acara turut diserikan dengan pertunjukan seni mempertahankan diri sebelum upacara kemuncak penganugerahan beret dan pisau komando dijalankan.

Pada awalnya, seramai tiga pegawai dan 130 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah melapor diri untuk mengikuti Kursus Asas Komando pada siri ini, namun hanya 48 anggota LLP sahaja yang berjaya menamatkan latihan penuh cabaran itu dan layak dianugerahkan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh, Tuan Raven Kumar Krishnasamy, Pegawai Daerah Mersing, Tuan Hj Jamil Hasani Abdullah, Ketua Staf Perkhidmatan MK 21 GGK, Brig Jen Mohd Musyadi Abdul Mutalib dan Komandan PULPAK, Kol Mohd Rizal Zambran.

Gambar: Riffat Mohd Yusof, Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online