KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato‘ Seri Mohamed Khaled Nordin menerima Kunjungan Hormat daripada Menteri Pertahanan dan Veteran Tentera Afrika Selatan, Puan Yang Terutama (PYT) Angie Motshekga di pejabatnya pada 27 Okt 2025.
Kunjungan ini menandakan kesinambungan hubungan erat antara Malaysia dan Afrika Selatan dalam bidang pertahanan, susulan mesyuarat dua hala antara MENHAN dan Presiden Afrika Selatan pada 25 Okt lalu di Putrajaya.
Terdahulu, ketibaan PYT Angie Motshekga di Dataran Wisma Pertahanan disambut oleh MENHAN, lalu menerima tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang berkekuatan seramai tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.
Selesai acara KKU, PYT Angie Motshekga diperkenalkan kepada menteri-menteri serta pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum menandatangani Buku Pelawat Kementerian Pertahanan dan seterusnya bergerak bersama delegasi ke Pejabat MENHAN bagi meneruskan sesi perbincangan rasmi.
Kunjungan hormat diakhiri dengan pertukaran cenderahati antara MENHAN dan PYT Angie Motshekga sebagai simbol penghargaan dan persahabatan antara kedua-dua negara.
Turut hadir, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaffar.
Oleh: Pbt Nanatasha Ngadan
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan



