KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan bahawa inovasi dan kreativiti merupakan teras utama keupayaan Tentera Darat (TD) dalam menghadapi cabaran masa hadapan sejajar dengan tema tahun ini, ‘Artificial Intelligence: Catalyst for a Smarter Army’.
“Inovasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan operasi dan survival ketenteraan masa kini,” tegas beliau ketika berucap dalam Majlis Anugerah Inovasi TD Tahun 2024 di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 29 Okt 2025.
Majlis ini menyaksikan pengiktirafan kepada beberapa unit TD atas kejayaan projek inovatif masing-masing dimana Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) dinobatkan sebagai johan bagi kategori KIK Primer Melalui Inovasi Sosial (Penciptaan) menerusi projek Intelligent Solar Tracker, manakala 12 Woksyop Briged muncul johan bagi kategori KIK Primer Melalui Inovasi Sosial (Penambahbaikan) dengan projek Evolution Grass Cutter.
Bagi kategori KIK Primer Melalui Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan), Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD) diumumkan sebagai johan menerusi projek Faster Weapon Draw System, manakala 2 Woksyop Briged dinobatkan sebagai johan bagi kategori Penambahbaikan melalui projek Mesin Pengetuk Kartus Kosong.
Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Pengurusan dan Inovasi Tentera Darat (APITD) yang menyaksikan Batalion Ketujuh Rejimen Sempadan (7 RS) menerima Anugerah Pengiktirafan, manakala Anugerah Logistik disandang oleh 93 Depot Pusat Peluru (93 DPP).
Anugerah Pengurusan Briged, Divisyen dan Pemerintahan pula disandang oleh Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (MK 7 Bgd), Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia (MK 4 Div) yang turut dinobatkan sebagai johan keseluruhan APITD, serta Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD).
Kecemerlangan TD dalam bidang inovasi terbukti apabila berjaya meraih tujuh daripada 14 projek inovasi di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), empat kejuaraan di peringkat Kementerian Pertahanan serta satu pingat emas dan satu pingat perak di Indonesia Inventors Day (IID) yang berlangsung di Jakarta.
Antara produk hasil inovasi yang kini digunakan oleh TD termasuk Spider Heavy Wheel Carrier, Portable Socket Tester dan Alat Pengetuk Kartus Kosong.
Pada masa yang sama, beberapa projek baharu seperti Army Kamikaze Drone dan Platform Oerlikon 20mm sedang dibangunkan sebagai usaha memperkukuh keupayaan tempur pasukan.
PTD menekankan bahawa kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) kini menjadi aset strategik dalam sistem pertahanan moden yang dilihat memainkan peranan penting dalam bidang risikan, sokongan taktikal, logistik serta analitik operasi.
Beliau menyeru agar semangat inovasi terus disuburkan sebagai budaya kerja warga TD supaya pasukan ini kekal relevan, tangkas dan berteknologi tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.
Gambar: Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri



