SELANGOR: Pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) 850-13 menjadi kontinjen terakhir Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan menggalas misi Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Penugasan ini menutup tirai hampir dua dekad penglibatan Malaysia di Lubnan sejak 2007, sekali gus menjadi lambang harapan di garis aman iaitu amanah mempertahankan keamanan dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaffar berkata, sudah tiba masanya Malaysia menyerahkan tanggungjawab mempertahankan keamanan di Lubnan kepada pihak tempatan selepas hampir dua dekad penyertaan dalam misi berkenaan.
“Selepas MALBATT yang ke-13, sudah tiba masanya kita menyerahkan tanggungjawab mempertahankan keamanan di Lubnan kepada pihak tempatan,” katanya.
“Selain itu, kali ini kita juga menerima sijil pengiktirafan daripada PBB berkaitan pusat pengaman kita, satu pengiktirafan yang sudah lama dinantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-13 di Pangkalan Udara Subang pada 5 Nov 2025.
Majlis penuh simbolik itu menandakan kesiapsiagaan Kontinjen MALBATT 850-13 yang terdiri daripada 532 anggota termasuk tiga pegawai dan 18 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan untuk berangkat ke Lubnan bagi melaksanakan misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di bawah Panji-Panji PBB.
Kontinjen ini telah menjalani latihan intensif selama tiga bulan di MALBATT Village, Port Dickson merangkumi Latihan Satu Perkhidmatan dan Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama (MAB).
PAT menzahirkan rasa bangga atas kesiapsiagaan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh anggota MALBATT 850-13 termasuk 55 anggota wanita yang bakal melaksanakan misi pengaman di bawah naungan UNIFIL di Lubnan.
“Setiap langkah selepas ini membawa nama Malaysia dan doa rakyat. Jaga nama baik kita, berkhidmatlah dengan penuh tanggungjawab serta dedikasi,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa misi pengaman bukan sekadar menjaga keselamatan, malah turut menyentuh nilai kemanusiaan dan hubungan diplomatik.
“Anggota diingatkan agar menghormati budaya tempatan, menabur bakti dengan ikhlas serta mengekalkan disiplin tinggi sepanjang penugasan,” pesan beliau.
Dalam pada itu, PAT turut merakamkan penghargaan kepada keluarga anggota atas sokongan dan doa yang menjadi sumber kekuatan kepada mereka yang berkhidmat jauh di perantauan.
Penghantaran pasukan ke Lubnan dilaksanakan secara berperingkat dalam empat fasa menggunakan pesawat AirAsia dengan kumpulan pertama melibatkan 42 pegawai dan 108 anggota LLP diketuai oleh Kol Hj Mohd Rizwan Abdullah selaku Komander MALBATT 850-13 bagi menggantikan MALBATT 850-12 yang telah menamatkan tempoh penugasan selama 12 bulan.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Pahlawan Zahani Hj Zainal Abidin TUDM, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Dato’ Mohd Razali Alias dan Penasihat Pertahanan Brunei, Lt Kol Rudie Asmawi Hj Abidin.
Oleh: Pbt Nanatasha Ngadan
Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir, Pbt Nanatasha Ngadan & Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan

