KUALA LUMPUR: Pasukan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (14 RAMD (Mek)) berjaya mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan 18 RAMD (Para) dengan jaringan 2-0 dalam Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Sultan Sallehuddin Tahun 2025 yang berlangsung di Stadium Kementerian Pertahanan pada 28 Nov 2025.
Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan itu menyaksikan juara bertahan telah membuka tirai jaringan pada minit ke-13 hasil gol sendiri (OG) oleh pemain 18 RAMD (Para).
Sebelum babak pertama berakhir, 14 RAMD (Mek) berjaya menambah gol kedua menerusi sepakan percuma yang disempurnakan oleh Kpl Mohd Sukri Hamidi pada minit ke-41 sekaligus mengukuhkan kedudukan dan memastikan kemenangan mereka.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman selaku Kol Yang Dipertua RAMD dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan akhir dan seterusnya menyempurnakan acara pengurniaan hadiah dan persembahan cendera kenangan.
Lebih manis lagi, 14 RAMD (Mek) turut mencatat pencapaian individu cemerlang apabila Kpl Mohd Sukri Hamidi dinobatkan sebagai Penjaring Gol Terbanyak kejohanan dengan jumlah empat gol, manakala Kpl Mohamad Hakimi Abdullah dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman selaku Pengerusi RAMD dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, LKpl Muhammad Syfiqrullah Mazlan & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri



