MELAKA: Kementerian Pertahanan meneruskan usaha memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat melalui pelaksanaan Projek Jiwa MADANI (PJM) di Masjid An-Najwan, Cheng pada 27 Jan 2026.
Antara pengisian utama PJM kali ini ialah kerja baik pulih dan senggaraan pagar Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najwan yang dilaksanakan hasil kerjasama ATM bersama pihak masjid.
Inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan aspek keselamatan dan keceriaan kawasan perkuburan, malah mencerminkan keprihatinan ATM terhadap keperluan komuniti setempat.
Program seterusnya diserikan dengan ucapan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Hj Rais Datuk Wira Yasin sebelum ucapan utama oleh MENHAN.
Majlis turut menyaksikan penyerahan mock-up cek bernilai RM50,000 bagi projek senggaraan tersebut kepada Pengerusi Masjid An-Najwan sebagai simbolik pelaksanaan PJM di kawasan berkenaan.
Selain itu, MENHAN turut menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada 15 penerima asnaf sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan.
PJM ini membuktikan ATM bukan sahaja berperanan menjaga keselamatan negara, malah sentiasa komited membantu masyarakat melalui pendekatan kebersamaan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan Hj Md Othman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad.
Gambar: Pbt Muhammad Adam Adham Che Abdullah & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran

