KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD) yang berlangsung di Ruang Tamu Pejabat PTD pada 3 Feb 2026.
Majlis dimulakan dengan upacara pemakaian pangkat ke atas Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal yang dinaikkan pangkat ke Lt Jen serta dilantik menjawat jawatan sebagai PMB TD yang baharu.
Terdahulu, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal berkhidmat sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan Tentera Darat atas kepercayaan yang diberikan dan bertekad untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi kecemerlangan Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat.
Majlis diteruskan dengan Acara Serah Terima Tugas PMB TD oleh Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman kepada Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal menerusi acara menandatangani Nota Serah Terima Tugas dan Penyerahan Tongkat Kuasa disaksikan oleh PTD. Acara ini sekali gus menjadikan Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal sabagai PMB TD Ke-26.
Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman akan bertukar keluar ke perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia bagi mengisi jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.

