Bersama PemimpinMINDEFSemasa

Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman Terajui Kepimpinan ATM

KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman dinaikkan pangkat Jen serta menjawat jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-24 berkuatkuasa pada 1 Feb 2026.

Pelantikan PAT Ke-24 adalah signifikan buat ATM pada ketika ini, di mana institusi pertahanan negara berhadapan cabaran besar untuk memperkukuh semula keyakinan rakyat serta memelihara kredibiliti organisasi.

Dalam landskap keselamatan semasa yang semakin kompleks, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja dituntut berwibawa dari sudut operasi, malah berperanan sebagai pemacu nilai dan prinsip profesionalisme ketenteraan.

Peranan ini menjadi lebih kritikal apabila ATM kini berada dalam fasa penilaian dan pembaharuan institusi, khususnya dalam memperkukuh aspek tatakelola, akauntabiliti dan integriti kepimpinan.

Justeru, pelantikan baharu ini membawa mandat penting untuk menetapkan hala tuju yang jelas, berteraskan ketelusan, disiplin serta pematuhan kepada nilai-nilai teras perkhidmatan ketenteraan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan acara pemakaian pangkat Jen kepada Lt Jen Datuk Hj Malek Sulaiman dalam Majlis Pelantikan PAT Ke-24 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia pada 3 Feb 2026.

Sebagai PAT Ke-24, kepimpinan yang ditampilkan bukan sekadar berfungsi melalui struktur perintah, tetapi turut bertunjangkan autoriti moral yang mampu menyatukan seluruh warga ATM.

Pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku, serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi.

Pelantikan ini juga dilihat sebagai peluang strategik untuk melaksanakan penetapan semula institusi (institutional reset) yang menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan.

Tumpuan terhadap pembinaan semula kepercayaan dalaman dan luaran diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai sebuah pasukan pertahanan yang profesional, berintegriti dan dihormati.

Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman merupakan lulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM memulakan tugas sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom pada 1985 serta telah ditauliahkan pada 11 Dis 1987 dengan pangkat Lt M.

Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, PAT Ke-24 telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang wibawa dimana beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf serta jawatan terakhir beliau ialah PMB TD.

Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, pelantikan ini diyakini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

Pelantikan PAT Ke-24 ini membawa mesej jelas bahawa ATM kekal komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai institusi pertahanan negara yang berteraskan integriti, profesionalisme dan tanggungjawab kepada rakyat.

Pelantikan baharu ini diharap dapat memacu ATM ke arah masa depan yang lebih kukuh, diyakini dan berwibawa di peringkat nasional serta antarabangsa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Tuan Hj Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM dan Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri.

Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Meor Danish Aniq Mohd Faizul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Slot Free Credit Online Casino Malaysia Slot Malaysia V12BET Slot Malaysia BVBX Online Casino Malaysia BVBX