KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman bersama isteri, Datin Noor Ainy Hj Mohd Ali selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) Tahun 2026 anjuran Markas Pemerintahan Logistik TD (MK PLTD) bertempat di Masjid Khalid Al-Walid pada 11 Mac 2026.
Penganjuran majlis ini bertujuan menggalakkan warga TD yang beragama Islam untuk terus membudayakan bacaan Al-Quran dengan betul disamping memartabatkan kitab suci tersebut sebagai lambang kesucian umat Islam.
Program tadarus Al-Quran ini merupakan antara pengisian rutin tahunan bagi menghidupkan bulan Ramadan dimana ia memberi peluang kepada warga TD untuk menghayati serta mendekatkan diri dengan Al-Quran sekali gus memperkukuhkan jati diri dan nilai spiritual dalam kalangan warga tentera.
Penganjuran majlis ini turut mencerminkan bahawa kekuatan sesebuah angkatan bukan sahaja terletak pada keupayaan persenjataan, malah turut didasari oleh keimanan, ketakwaan serta pegangan yang teguh terhadap ajaran Al-Quran sebagai panduan dalam setiap perjuangan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta penyampaian tazkirah ringkas oleh Ketua Pengarah Agama MK TD, Kol Mohd Jihadi Hj Ahmad sebelum diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada para peserta tadarus yang disempurnakan oleh PTD dan isteri.
Dalam majlis yang sama, PTD dan isteri turut mengagihkan pulut kuning dan bunga telur kepada wakil Panglima-Panglima Formasi serta Pengerusi BAKAT Formasi sebagai simbolik Majlis Khatam Al-Quran Peringkat TD Tahun 2026.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri.

