Category: Trup TD

  • 21 GGK RAIKAN PTD KE-28

    21 GGK RAIKAN PTD KE-28

    JOHOR: 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) menganjurkan Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-28, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain melibatkan seramai 21 pegawai dan 247 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) di bawah naungan 21 GGK bertempat di Padang Kawad 21 GGK pada 2 Feb 2023.

    “Beberapa peralatan vital 21 GGK dan peralatan penerjunan serta peralatan optikal berjaya diperolehi bagi menjamin kelancaran semasa melaksanakan latihan.

    “Selain itu, pembinaan kemudahan latihan seperti pembinaan sistem tempur jarak dekat dan kolam selam tempur sedang giat dilaksanakan.

    “Tidak dilupakan juga kebajikan dan keselesaan hidup warga 21 GGK yang turut diberi perhatian melalui senggaraan dan peningkatan bangunan teknikal serta Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif,” ujar PTD.

    Terdahulu, PTD Ke-28 menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama sebelum diteruskan dengan acara perbarisan berkonsepkan tempur yang terdiri daripada empat detasmen iaitu Rejimen 11 Gerak Khas (11 RGK), 22 Komando (22 Kdo), 21 Kdo dan detasmen Gabungan 21 GGK.

    Pada 21 Mac 2023, beliau akan menamatkan kerjayanya dalam Tentera Darat (TD) khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya setelah lebih 43 tahun memerah keringat serta mencurah bakti dalam memastikan organisasi terus maju seiring dengan peredaran zaman.

    Usai perbarisan, turut diadakan jamuan makan PTD Ke-28 bersama warga 21 GGK di Dewan Jenalik Kem Iskandar sebelum diakhiri dengan penyampaian cendera kenangan.

    Turut hadir, Panglima 21 GGK, Mej Jen Nubli Hj Hashim, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman dan Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Shuhaimi Mat Wajab.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • Tinju Sukan Utama TD – PTD

    Tinju Sukan Utama TD – PTD

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengingatkan semua anggota yang terpilih mewakili Tentera Darat (TD) agar sentiasa mengekalkan stamina dan kecergasan bagi merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Tinju Antara Perkhidmatan.

    Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Tinju Peringkat Formasi TD di Dewan Ramli, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) pada 24 Jun 2022.

    Kejohanan ini bermula pada 20 hingga 24 Jun 2022 bertujuan untuk memilih wakil TD yang akan bertanding di peringkat ATM.

    Johan keseluruhan dinobatkan kepada Markas 21 Gerup Gerak Khas (MK 21 GGK) kategori Formasi TD manakala Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) memenangi Johan Keseluruhan Peringkat Div.

    Petinju Terbaik Keseluruhan Formasi TD 2022 dinobatkan kepada Kpl Mohd Shahrazi Sebri dari MK 21 GGK dan Petinju Berpotensi berjaya disandang oleh LKpl Muhammad Aminuddin Azizan dari Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD).

    Seramai 26 anggota terpilih bagi mewakili TD dalam Kejohanan Tinju Antara Perkhidmatan yang akan diadakan pada 28 Jun 2022.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf Tentera Darat (KSTD), Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • PTD Santuni Anggota Beroperasi Sempena Aidilfitri

    PTD Santuni Anggota Beroperasi Sempena Aidilfitri

    SABAH: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain bersama Panglima-Panglima Formasi bawah naungan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) melakukan lawatan ke kawasan operasi Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Tentera Darat (TD) sekitar Sabah pada 3 Mei 2022.

    PTD memulakan lawatan dengan meninjau Markas Taktikal (MK Tak) Pulau Berhala dan beramah mesra bersama pegawai dan anggota yang bertugas di kawasan operasi tersebut.

    PTD meneruskan lawatan ke Pos Felda Sahabat 16 yang merupakan kawasan yang meyaksikan insiden pencerobohan oleh Royal Sulu Forces pada tahun 2013.

    PTD kemudiannya menyantuni anggota operasi di Kem JPG Lahad Datu sebelum diakhiri dengan lawatan ke Kem Sri Wangsa.

    Keprihatinan PTD meluangkan masa selain bertujuan untuk meninjau pos-pos operasi dan melihat tahap kesiapsiagaan adalah untuk menyuntik kata-kata semangat dan dorongan kepada semua anggota dalam melaksanakan tugas di perbatasan demi mempertahankan kedaulatan negara semasa orang lain bergembira menyambut ketibaan Aidilfitri bersama keluarga.

    Kehadiran PTD juga memberi peluang kepada anggota berinteraksi dengan pucuk pimpinan TD di samping PTD dapat melihat permasalahan yang dihadapi oleh anggota ketika melaksanakan operasi.

    PTD turut menyampaikan sumbangan beg raya kepada anggota bertugas yang mana dengan pemberian tersebut sedikit sebanyak adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

    Lawatan PTD diakhiri dengan acara bergambar bersama pegawai dan anggota TD.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • PTD Sambut Ketibaan Enam Pesawat MD530G

    PTD Sambut Ketibaan Enam Pesawat MD530G

    SELANGOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyaksikan ketibaan enam Pesawat Tempur Ringan bertempat di Hangar 2 Invation Aero Subang pada 28 Feb 2022.

    Helikopter MD530G yang dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Sdn Bhd merupakan pesawat buatan Amerika Syarikat dan dibina oleh MD Helicopter Inc (MDHI).

    Pergerakan helikopter ini bermula pada 20 Jan 2022 dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat dan selamat tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Feb 2022 setelah melalui pelayaran panjang selama 31 hari.

    Selain membekal enam buah helikopter, kontrak perolehan juga merangkumi program latihan untuk Juruterbang dan Juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

    Seramai lapan Juruterbang dan sembilan Juruteknik telah menghadiri program latihan tersebut di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat bermula pada 26 Apr hingga 11 Jun 2021.

    Demi menentukan kualiti pesawat menepati spesifikasi Tentera Darat (TD), satu tim pemeriksaan Pre-Delivery Inspection (PDI) telah ditubuhkan pada Jul 2021 dan telah diaturgerak ke Premis MDHI di Mesa, Arizona untuk melaksanakan pemeriksaan bermula pada 6 hingga 17 Dis 2021.

    Pemeriksaan merangkumi fizikal pesawat, kefungsian/keupayaan pesawat, fizikal alat ganti, Flight Training Device (FTD) dan fizikal persenjataan.

    Pada ketika ini pesawat tersebut sedang melalui pemeriksaan oleh Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) yang dijangka mengambil masa selama lebih kurang enam hari sehingga 2 Mac 2022.

    Seterusnya, enam buah helikopter ini akan melalui proses penerimaan akhir oleh TD di mana satu tim pemeriksa yang dikenali sebagai Tim Final Acceptance Test (FAT) telah ditubuhkan dan akan dipertanggungjawabkan untuk memeriksa pesawat ini secara terperinci.

    Proses FAT ini dijadualkan bermula pada 3 hingga 27 Mac 2022 dan setelah Tim FAT mengesahkan enam buah helikopter ini lulus pemeriksaan akhir, Sijil Pemeriksaan Akhir akan dikeluarkan dan ditandatangani oleh wakil syarikat bersama Tim FAT bagi menandakan bahawa helikopter ini menjadi hak milik TD secara rasminya.

    Peranan utama helikopter ini adalah sebagai Pesawat Tempur Ringan dan ianya dilengkapi dengan kuasa tembakan jenis Gatling Gun 7.62mm, Heavy Machine Gun 2.7mm dan Rocket Launcher 70mm.

    Keupayaan kuasa tembakan yang dimiliki oleh pesawat ini mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri dalam jarak 500 meter ke tujuh kilometer dan ketangkasan helikopter ini juga membolehkan ianya melaksanakan tugas tinjauan udara.

    Terdahulu dalam ucapan PTD menyatakan bahawa peningkatan dari segi kesiagaan dan keupayaan TD tetap menjadi agenda utama kerana TD perlu mempunyai aset yang lengkap dalam melaksanakan tugas utama mempertahankan kedaulatan negara.

    “Demi mendukung Tonggak Pertama PTD iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan, helikopter ini akan diaturgerakkan untuk membantu ketumbukan tempur TD yang lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah

  • Kesiagaan Briged Elit, Sedia Sebilang Masa

    Kesiagaan Briged Elit, Sedia Sebilang Masa

    PAHANG: Perdana Menteri (PM) Malaysia, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan akan terus menambah baik aset pertahanan berdasarkan kepada teknologi terkini walaupun ianya telah mencukupi.

    “Eksesais besar sebegini boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membuktikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga dan bersedia dalam mempertahankan kedaulatan negara.

    “Apa yang kita lihat hari ini jelas menunjukkan bahawa dalam keadaan aman sekalipun kita tidak seharusnya leka dan sebab itulah eksesais sebegini boleh dilakukan,” jelas PM ketika menyaksikan Penutup Eksesais Para Predator Siri 1/2021 oleh ketumbukan 10 Bgd (Para) bertempat di Kampung Batu Bor, Bera pada 28 Ogos 2021.

    Tambah beliau lagi, latihan ketenteraan dalam Tentera Darat (TD) merupakan benteng pertahanan utama bagi menjamin kedaulatan negara, The Army Is The Guardian Of The State dan teras utama peranan TD pula adalah untuk mempertahankan negara dari ancaman luar serta bertindak sebagai Military Fighting Organisation dengan tahap kesiagaan yang tinggi.

    “Walaupun kita masih berada di dalam penularan pandemik COVID-19, latihan ketenteraan akan diteruskan dengan mengadaptasi norma baharu dan pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat ditetapkan oleh kerajaan,” jelas PM.

    Terdahulu ketibaan PM disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

    Eksesais Para Predator yang dilaksanakan oleh 10 Bgd (Para) merupakan ketumbukan pasukan elit iaitu Bgd Payung Terjun dengan tahap kesiagaan yang tinggi dan merupakan komponen utama TD yang dikenali sebagai Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).

    Bgd ini juga merupakan elemen tempur yang memberikan tindak balas pantas (quick reaction) terhadap sebarang kemungkinan ancaman serta mampu memberikan opsyen ketenteraan kepada negara dalam menghadapi sebarang kontinjensi di dalam atau luar negara untuk melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

    Justeru itu, eksesais ini bertujuan untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi setiap Leading Para Battle Ground (LPBG) dalam atur gerak Bgd untuk melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.

    Tiga pendekatan utama eksesais ini iaitu, To Train (Troop) bagi memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, To Project (The Army) bagi memberikan gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar atur gerak TD dan To Educate (Create Public Awareness) bagi mendidik mahupun berkongsi pengetahuan serta menerapkan kesedaran umum mengenai peranan TD dalam aspek keselamatan.

    Eksesais ini mensimulasikan gerakan kemaraan anggota 10 Bgd (Para) dengan disokong oleh pelbagai jenis aset tempur, termasuklah kenderaan tempur dari Skuadron Ke-11 Kor Armor Diraja (Skn 11 KAD) dan jambatan tempur dari Skuadron Keempat Rejimen Askar Jurutera Diraja (Jambatan) (Skn 4 RAJD(Jn)).

    Anggota yang terlibat dalam eksesais ini terdiri daripada pelbagai elemen daripada MK 10 Bgd (Para), Kompeni Infantri Mekanize, 881 Pasukan Udara Tentera Darat (881 PUTD), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), elemen tempur, bantuan tempur dan bantuan khidmat tempur 10 Bgd (Para).

    Selain itu, eksesais ini juga dirangka bagi menilai tahap kepimpinan setiap lapisan pemerintahan, tahap kompetensi atau keupayaan setiap pasukan tempur di dalam Bgd ini serta menguji ketahanan fizikal dan mental anggota untuk berhadapan dengan tekanan realisme yang tinggi sebagaimana situasi sebenar ketika perang dan krisis.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Mohammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Saifun Hakimi Zainon

  • 2 Skn RAJD Bantu JKR Bina Jambatan Bailey

    2 Skn RAJD Bantu JKR Bina Jambatan Bailey

    PERAK: Tentera Darat (TD) telah mengatur gerakan Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) untuk membantu agensi Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinta dalam pemasangan jambatan Standard Bailey di Kampung Belum Baru, Lenggong bermula pada 1 hingga 5 Mac 2021.

    Pemasangan jambatan ini bertujuan untuk menghubungkan penduduk kampung dengan pekan Lenggong sekaligus dapat meringankan beban penduduk setempat yang selama ini terpaksa melalui jalan jauh untuk ke pekan Lenggong.

    Projek Jiwa Murni (PJM) yang diketuai oleh Ketua Trup Pertama 2 Skn RAJD ini melibatkan seramai seorang pegawai dan 19 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta sembilan pekerja JKR.

    Dalam satu temubual, Ketua Trup 2 Skn RAJD berkata pemasangan jambatan sepanjang 33 meter ini merupakan laluan utama kepada lebih 1,100 penduduk di sini.

    “Jambatan model lama selebar 3.5 meter ini selamat digunakan dan hanya membolehkan satu kenderaan melaluinya pada tiap-tiap masa,” jelas beliau.

    Jambatan Standard Bailey adalah jambatan yang dibekalkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinta manakala kren dan excavator disediakan oleh Jabatan Pengairan Saliran Perak.

    Sementara itu, Penghulu Mukim Kenering merangkap Jawatankuasa Pengurusan Kemajuan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Belum Baru, Omar Fazilah Mohamad berasa amat berbesar hati dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada TD khususnya warga 2 Skn RAJD kerana datang dengan segera bagi membantu penduduk di sini.

    “Saya berharap kerjasama erat antara TD dengan masyarakat dapat diteruskan,” jelas beliau.

    Bantuan kepada rakyat oleh TD ini dengan kerjasama daripada JKR selari dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 yang memberi penekanan terhadap Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • PTD Ke-28 Di Anugerah Beret Merun

    PTD Ke-28 Di Anugerah Beret Merun

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) disempurnakan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Hj Semaon Hj Marjuki bertempat di Dataran Parawood Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (Para) pada 9 Okt 2020.

    Terdahulu dari itu, PTD dipertonton dengan persembahan demontrasi oleh 10 Bgd Para melibatkan 10 pegawai dan 1046 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Zakaria Saip Lani dari Rejimen Pertama Artileri Diraja Para.

    Antara demontrasi yang diadakan adalah seperti pertunjukan payung terjun bebas dari Tim Penerjun Bebas Kompeni PANDURA diikuti acara Para Ground Traning, Freefall, Repelling/Abseiling/Fast Roping, Tempur Tanpa Senjata (TTS), Renang Tempur dan Tactical Combat Casualty Care (TCCC).

    Acara kemudiannya diteruskan dengan penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) dan PTD dipersembahkan Para War Dance atau Tarian Perang yang mana persembahan ini melambangkan keberanian dan kekuatan pahlawan para.

    Objektif utama penganugerahan ini adalah sebagai penghormatan dan pengiktirafan 10 Bgd (Para) terhadap individu, pemimpin tertinggi tentera dan kerajaan sama ada dalam atau luar negara.

    Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Pegawai Kanan TD.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • 42 Tahun Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki Mengabdikan Diri Dalam Tentera

    42 Tahun Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki Mengabdikan Diri Dalam Tentera

    MELAKA: Seramai 25 pegawai dan 905 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) di bawah naungan 10 Briged (Para) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Mantan Panglima Angkatan Bersama (PAB), Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki bertempat di Padang Kawad Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD Para) pada 5 Sep 2020.

    Perbarisan tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki yang akan menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 8 Sep 2020 setelah hampir 42 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain hadir menyempurnakan perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 17 RAMD (Para), Lt Kol Anwar Zamani Jusop diiringi Pancaragam Gabungan 10 Bgd (Para).

    Majlis diteruskan dengan ucapan PTD yang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lt Jen Dato’ Suhaimi Hj Mohd Zuki diatas khidmat bakti, jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini disamping menyeru kepada semua warga TD agar mencontohi ketokohan beliau sebagai sumber inspirasi dalam memartabatkan sebuah Kor yang unggul dan kredibel.

    Sepanjang perkhidmatan beliau, Lt Jen Dato’ Suhaimi telah menjawat pelbagai jawatan penting antaranya sebagai Panglima 10 Bgd Para, Penasihat Ketenteraan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Komandan di INSPEKA, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, Panglima 4 Div, Panglima Latihan TD, Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia, Ketua Eksekutif di MiDAS dan juga Tim Ketua Nukleus di King Salman Center for International Peace (KSCIP).

    Bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam membendung dan memutuskan rangkaian penularan COVID-19, perbarisan dilakukan secara statik dengan penjarakan anggota yang berbaris lebih jauh berbanding biasa serta mewajibkan pemakaian pelitup muka sesuai dengan norma baharu serta pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Hj Semaon Hj Marjuki.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • MENHAN Lawat MK 21 GGK

    JOHOR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Hj Mohamad Sabu melakukan lawatan kerja beliau ke Markas 21 Grup Gerak Khas (MK 21 GGK) pada 6 Dis 2018.

    Dalam lawatan tersebut, MENHAN diperkenalkan kepada pegawai-pegawai MK 21 GGK dan dibawa ke Bilik Helang MK 21 GGK untuk mendengar taklimat lawatan serta menandatangani Buku Lawatan Kerja.

    Terdahulu dari itu, sebaik ketibaan MENHAN beliau diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin disambut oleh Panglima 21 GGK, Mej Jen Datuk Hasan Ali lalu menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU).

    Turut hadir Timbalan MENHAN, Senator Liew Chin Tong, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Hj Buang TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Datuk Jamaludin Jambi.

    Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

  • Lawatan Ulung PTD ke MK 21 GGK

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi  melakukan Lawatan Ulung beliau ke Markas 21 Grup Gerak Khas (MK 21 GGK) pada 19 Nov 2018.

    Sebaik ketibaan PTD, beliau disambut oleh Panglima 21 GGK, Mej Jen Datuk Hasan Ali seterusnya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) di Padang Kawad MK 21 GGK.

    Selesai KKU, PTD diperkenalkan kepada pegawai-pegawai seterusnya sesi bergambar dan beliau dibawa ke Bilik Helang MK 21 GGK untuk mendengar taklimat lawatan serta menandatangani Buku Lawatan Kerja.

    Seterusnya PTD dibawa ke Lapang Sasar 600 meter lalu dipertontonkan dengan Demontrasi Advance Shooting, Face to face Shooting, Agility Shooting, Sniper Option dan menembak sasaran hidup oleh Skuadron Lawan Keganasan.

    Selain itu PTD di bawa  ke Rumah Tempur Jarak Dekat lalu dipersembahkan dengan aksi Room Entry/Hostage Rescue dan One Room Combat.

    Lawatan diteruskan dengan Demontrasi Ronda Kumpulan Kecil (RKK) dengan persembahan RKK Contact Drill serta demontrasi yang terakhir iaitu International Practical Shooting Confederation (IPSC) di Lapang Sasar Pasir Landa.

    Acara diakhiri dengan Makan Tengahari Bersama Warga 21 GGK serta pemyampaian  cenderahati di Hangar Skuadron Perahu Khas.

    Turut hadir Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Datuk Jamaludin Jambi dan pegawai kanan 21 GGK.

    Gambar: SSjn Vijay Gaunder Arikrishnan