Tag: Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein

  • Bubur Lambuk Buat Warga KEMENTAH

    Bubur Lambuk Buat Warga KEMENTAH

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk yang diadakan di Wisma Pertahanan pada 7 Apr 2022.

    Pengagihan bubur lambuk sebanyak 2000 bungkus diagihkan kepada warga Wisma Pertahanan yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penjawat awam yang berkhidmat di Wisma Pertahanan.

    Walau bagaimanapun, program ini dilaksanakan dengan mengikut norma baharu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana yang telah digariskan kerajaan.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

    Gambar: Riffat Mohd Yusof.

  • Pasca DSA dan NATSEC Asia 2022: Pengharapan Baharu Pertahanan dan Keselamatan Negara

    Pasca DSA dan NATSEC Asia 2022: Pengharapan Baharu Pertahanan dan Keselamatan Negara

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa hasil penganjuran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2022 yang merupakan pameran pertahanan dan keselamatan terkemuka dunia menyaksikan majlis menandatangani kontrak, Letters of Acceptance (LOA), Letters of Intent (LOI) dan Memoranda of Understanding (MoU), bernilai lebih dari RM 6 billion, sekaligus memperkukuhkan lagi kerjasama serantau antara negara ASEAN dengan industri pertahanan dan keselamatan global.

    Meskipun pameran tersebut tidak dibuka untuk orang ramai, terdapat seramai 33,147 orang rakan dagangan, 350 delegasi luar negara serta lebih 1,000 syarikat dan 20 pavilion antarabangsa telah menyertai pameran ini.

    “Selain itu, perjumpaan bilateral yang diadakan bersama Kementerian Pertahanan lima negara iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei dan Maldives turut memberikan impak yang positif antaranya membincangkan isu persempadanan negara, usaha untuk membangunkan industri pertahanan, kerjasama pertahanan melalui latihan bersama dan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama.

    “Malaysia, Indonesia dan Filipina secara dasarnya bersetuju agar Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) perlu dikembangkan menjadi perjanjian kuartet dengan pembabitan Brunei di mana negara berkenaan sedang menunggu perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

    “Seterusnya, mesyuarat bilateral bersama Indonesia semasa DSA dan NATSEC 2022 membawa kepada persetujuan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia (MALINDO) pada Julai ini berhubung isu pos kawalan bersepadu,” jelasnya.

    Menteri Kanan Pertahanan berucap ketika menyempurnakan Majlis Penghargaan dan Pengumuman DSA dan NATSEC Asia 2024 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 31 Mac 2022.

    Tambah beliau lagi, DSA dan NATSEC Asia 2024 akan diadakan dalam masa dua tahun lagi dan dijadualkan bermula pada 6 hingga 9 Mei 2024.

    Melalui penganjuran pameran ini, Menteri Kanan Pertahanan menyatakan menerima maklum balas positif daripada delegasi luar negara serta syarikat yang menyertai pameran antarabangsa ini.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Hj Abdullah Sani, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Delegasi 50 Negara Dijangka Hadiri DSA 2022

    Delegasi 50 Negara Dijangka Hadiri DSA 2022

    KUALA LUMPUR: Defence Service Asia Exhibition and Conference (DSA) 2022 atau Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2022 merupakan pameran pertahanan dan keselamatan yang akan berlangsung selama empat hari bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

    DSA 2022 membawa tema ‘Advancing into a New Era of Defence and Security’ merupakan acara dwitahunan yang kali terakhir diadakan pada tahun 2018 telah menarik lebih 1,000 penyertaan dari pelbagai syarikat keselamatan dalam dan luar negara.

    Seramai 25,000 pengunjung termasuk delegasi 50 negara dijangka akan menghadiri serta memeriahkan lagi pameran DSA 2022 pada kali ini bermula pada 28 sehingga 31 Mac 2022.

    Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media berkata, DSA dan NATSEC 2022 adalah satu perkara penting kepada negara kerana ia merupakan pameran antarabangsa pertama dan terbesar diadakan selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.

    “Penganjuran pameran ini menandakan peralihan negara ke fasa endemik dan kita telah mengambil langkah untuk maju ke hadapan.

    “Ianya sekaligus memperkukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa yang ideal,” katanya.

    Tambah beliau lagi, penganjuran pameran ini memberi isyarat bahawa Malaysia telah membuka pintu negara untuk menjalankan perniagaan.

    Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin meluangkan masa meninjau persiapan pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 di MITEC pada 27 Mac 2022.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

    Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • 305 Unit RKMAT Khusus Buat Warga 4 RAD

    305 Unit RKMAT Khusus Buat Warga 4 RAD

    JOHOR: Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak kementerian di atas kejayaan menyempurnakan projek perumahan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat.

    “RKMAT Kem Segamat mula dibina pada 24 Apr 2018 dengan kos mencecah RM 147.7 juta melibatkan 305 unit RKMAT pelbagai kelas untuk kemudahan keluarga pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) pasukan Rejimen Keempat Artileri Diraja (4 RAD).

    “Ia bukan sahaja menyediakan kemudahan perumahan kuarters malah dilengkapi dengan kemudahan awam yang lain seperti surau, dewan serbaguna, taska dan tabika, gelanggang futsal, bola tampar, sepak takraw serta bola jaring.

    “Selain itu, bagi memberi lebih keselesaan dan kesejahteraan kepada para anggota, Kementerian Pertahanan telah meluluskan pembinaan Kem Segamat Fasa 2 yang akan dilengkapi lebih banyak fasiliti dan kemudahan termasuk pembinaan bangunan Wisma Perwira, Wisma Bintara dan Pusat Perubatan Angkatan Tentera,” jelasnya.

    PM berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Dewan RKMAT Kem Segamat pada 6 Mac 2022.

    Tambah beliau lagi, Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 akan dilancarkan dalam masa terdekat.

    “Jumlah RKMAT yang akan dibina di bawah Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 ini adalah mengikut perancangan menyeluruh yang selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu menitikberatkan kesejahteraan hidup setiap keluarga Malaysia yang berbilang bangsa, agama serta budaya,” ujar PM.

    Program diakhiri dengan acara penyerahan kunci simbolik RKMAT yang disempurnakan oleh PM kepada tiga penerima yang mewakili pegawai dan anggota LLP dari 4 RAD.

    Turut hadir, Menteri Besar Johor, Dato’ Hj Hasni Mohammad, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

    Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime

  • MB Perak Ditauliah Pangkat Pegawai Kehormat AW

    MB Perak Ditauliah Pangkat Pegawai Kehormat AW

    Kuala Lumpur: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah (AW) di Wisma Pertahanan pada 4 Feb 2022.

    Menteri Besar (MB) Perak, Dato’ Seri Hj Saarani Mohammad dianugerahkan tauliah Brig Jen Kehormat dan dilantik sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Perak melalui Majlis Angkatan Tentera Ke-592 (MAT Ke-52) yang bersidang pada 23 Mac 2021 yang lalu.

    Penaung JAKPAW negeri dipertanggungjawabkan untuk merancang segala program pembangunan Rejimen Pasukan-pasukan AW di negeri berkenaan, membantu peruntukan dan pembangunan kem-kem AW.

    Selain itu, JAKPAW negeri juga berperanan membantu dalam promosi untuk pengambilan AW dan menyalur bantuan kewangan secara berkala kepada pasukan AW di negeri berkenaan.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

  • MINDEF Fokus Lapan Teras Dalam Amanat Tahun Baharu 2022

    MINDEF Fokus Lapan Teras Dalam Amanat Tahun Baharu 2022

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan bahawa Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) telah mempunyai perancangan yang rapi di bawah Pelan Tindakan 2022 (PT 2022) dengan penglibatan langsung semua pihak.

    “Hari ini kelapan-lapan teras berkenaan telah dimuktamadkan dengan mempunyai perancangan, hala tuju dan matlamat yang selari hasil daripada buah fikiran semua pihak yang terlibat.

    “Antara lapan teras tersebut merangkumi Kebajikan, Kesiagaan dan Keupayaan, Kerjasama Pertahanan Antarabangsa, Pemerkasaan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kompetensi Pertahanan, Kerjasama Awam-Tentera, Industri Pertahanan Nasional dan Kesiagaan Terhadap Krisis Berskala Besar.

    “Kebajikan merupakan antara teras yang terpenting terutamanya berkaitan dengan aspek perumahan di mana Blueprint Perumahan 3.0 KEMENTAH dilaksanakan dengan sebanyak 12,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (RKMAT) bakal dibina dan bagi tahun 2022 dijangka tujuh projek pembinaan RKMAT akan siap di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Johor, Serawak dan Pahang,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 17 Jan 2022.

    Tambah Menteri Kanan Pertahanan lagi, pada tahun 2022 ini Tentera Darat (TD) akan menerima aset-aset baharu termasuklah tujuh unit Kereta Kebal Pendekar dan 31 unit kenderaan perisai 8×8 Gempita bermula pada Jan manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima tiga buah pesawat AW 139 atau Helikopter Operasi Maritim (HOM) daripada Itali bermula Mac dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan meningkatkan keupayaan Maritime Surveillance Aircraft (MSA) ke atas tiga pesawat CN235-200, dan F/A 18D melalui program Service Life Extension Program (SLEP) serta Airbus A400M dengan pendekatan Retro Fit New SOC 2.5.

    Program diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir warga KEMENTAH yang merupakan simbolik kepada program Corporate Social Responsibility (CSR) yang dilaksanakan untuk kakitangan yang terkesan akibat banjir.

    Sejumlah 214 kakitangan KEMENTAH yang terkesan sepanjang bencana banjir ini telah dibantu dan diberikan sumbangan dalam usaha membantu mereka di masa-masa yang sukar tersebut.

    Selain itu, penyampaian test kit Covid-19 kepada pengurusan sekolah dalam kawasan kem untuk digunakan bagi membuat ujian kendiri terhadap pelajar dan guru di mana 2,633 test kit akan diberikan kepada pihak pengurusan sekolah rendah dan menengah merangkumi Sekolah Kebangsaan KEMENTAH sebanyak 1,117, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein onn sebanyak 1.012 serta Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi iaitu 504.

    KEMENTAH juga mengambil inisiatif dalam membantu kakikatangan awam yang kurang berkemampuan dengan menyediakan peralatan anak-anak untuk kembali ke sekolah di mana seramai 100 keluarga terpilih akan menerima sumbangan Back to School dengan nilai sumbangan sebanyak RM200 bagi setiap keluarga.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Tiada Kompromi Untuk Anggota Tentera Terlibat Buli-PTD

    Tiada Kompromi Untuk Anggota Tentera Terlibat Buli-PTD

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyatakan bahawa Tentera Darat (TD) tidak akan bertolak ansur terhadap anggotanya yang terlibat dalam buli.

    “Siasatan terperinci dan menyeluruh dilaksanakan terhadap anggota tentera yang terlibat dalam kes buli serta tindakan tegas akan diambil iaitu diberhentikan perkhidmatan secara serta merta.

    “Buat anggota TD, biar saya maklumkan di sini sekiranya kamu ditangkap menganiaya dan membuli anggota-anggota tentera yang lain, jika disiasat serta didapati bersalah, kamu akan diberhentikan serta-merta secepat mungkin tanpa perlu merujuk kepada Mahkamah Tentera,” tegasnya.

    PTD berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Galeri PTD bertempat di Muzium Tentera Darat, Port Dickson pada 13 Dis 2021.

    Sebelum ini tular di media sosial seorang individu memuat naik mesej perbualan yang mendakwa adiknya seorang anggota tentera yang tinggal di bilik bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota senior.

    Perkara ini telah menarik perhatian Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menggesa individu membuat dakwaan terbabit supaya tampil memberikan maklumat agar siasatan menyeluruh terhadap perkara ini dapat dilakukan dengan segera.

    Tambah PTD lagi, beliau hanya mendapat maklumat bahawa adik individu tersebut dibuli namun butiran terperinci masih belum diperolehi.

    “Saya akan bertindak apabila mendapat maklumat terperinci mengenai anggota yang dibuli sama ada dari anggota TD kerana individu itu tidak menjelaskan secara terperinci tentang unit adiknya dan saya dimaklumkan bahawa kes ini telah diambil alih oleh Kementerian Pertahanan,” katanya.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur, Lt Jen Dato’ Mardzuki Mohammad.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, dan Riffat Mohd Yusof.

  • 100 Hari Pertama Pentadbiran Menteri Kanan Pertahanan Capai KPI

    100 Hari Pertama Pentadbiran Menteri Kanan Pertahanan Capai KPI

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kesemua petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) telah dicapai dalam tempoh 100 hari pentadbirannya melalui 15 inisiatif di bawah enam aspirasi.

    “Enam aspirasi merangkumi memerangi COVID-19, mengawal sempadan negara, mengeratkan kerjasama antarabangsa, memenuhi keperluan kediaman anggota, membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM).

    “Selepas 100 hari saya menerajui KEMENTAH, sekali lagi saya menerima tabik hormat dan berdiri di hadapan saudara saudari dengan perasaan bangga serta terharu untuk menyatakan bahawa KPI berjaya dicapai sepenuhnya,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Pertama Pentadbiran Menteri Kanan Pertahanan di Dataran Panglima Tentera Darat (PTD), Sungai Besi pada 9 Dis 2021.

    KPI dicapai melalui pelaksanaan Combat Medic Vaccination Team di mana anggota terpaksa menempuhi perjalanan yang sukar khususnya di Sabah dan Sarawak bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi vaksin kepada 25,092 penduduk kawasan pedalaman.

    Selain itu, kementerian turut mengatur program Vaksinasi Pandu Lalu dalam tempoh tidak sampai dua bulan, namun seramai 14,097 remaja berjaya menerima vaksinasi lengkap hasil daripada inisiatif ini.

    Tambah Menteri Kanan Pertahanan lagi, kementerian turut melaksanakan Operasi BENTENG bagi membanteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di mana seramai 17,023 PATI telah ditangkap sehingga 7 Dis 2021.

    “Melalui pengoperasian Hospital Medan ATM yang membantu KKM dalam merawat ribuan pesakit COVID-19 dengan penglibatan Kor Kesihatan Diraja (KKD) juga merupakan penyumbang kepada KPI Kementerian.

    “Sepanjang tempoh 100 hari ini juga sebanyak 107 PJM dilaksanakan pada tahun ini dan setiap satunya disempurnakan hasil kerja keras anggota dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD),” ujar Menteri Kanan Pertahanan.

    Beliau turut memuji Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melakukan 21 penerbangan bantuan bagi membawa peralatan perubatan COVID-19 khususnya ke Sabah dan Sarawak serta semenanjung.

    Dari sudut perumahanan untuk 100 hari pertama ini matlamat kementerian menyediakan sekurang-kurangnya 2,000 unit kediaman baharu dan ia dapat direalisasikan menerusi pelancaran 2,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Bukit Jalil oleh Perdana Menteri pada 3 Nov 2021.

    “Pencapaian 100 hari tidak boleh dijadikan kayu ukur kecemerlangan kementerian ini secara keseluruhannya tetapi ia boleh menjadi pemangkin kepada setiap inisiatif  di bawah perancangan yang merangkumi tempoh jangka masa 100 hari,” tegasnya.

    Tambah Menteri Kanan Pertahanan, KEMENTAH akan turut memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

    Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

    Penonton kemudian dipersembahkan dengan tayangan montaj Aspirasi Keluarga Malaysia Kementerian Pertahanan dan disusuli demonstrasi Operasi Menyelamatkan Tebusan oleh pasukan khas ATM terdiri daripada 21 Gerup Gerak Khas (GGK), PASKAL dan PASKAU.

    Acara sambutan diteruskan dengan perbarisan berkonsepkan Perbarisan Tempur yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Fuad Md Ghazali melibatkan seramai 47 pegawai dan 968 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada lapan detasmen iaitu detasmen Tentera Darat (TD), detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan detasmen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    Seterusnya, Menteri Kanan Pertahanan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada anggota Frontliner di mana penglibatan ATM dalam membantu kerajaan dapat dilihat dengan pelbagai pelaksanaan aktiviti untuk mengekang penularan COVID-19 dan meneruskan usaha membantu kerajaan bagi meringankan beban kepada golongan yang terkesan.

    Antara perkara yang dilaksanakan ATM dalam membantu kerajaan adalah Sekatan Jalan Raya (SJR), Rondaan MPV, Rondaan Tim Pematuhan, Greater Klang Valley Task Force (GKV TF), Operasi Imunisasi, Hospital Medan/Desaster Management Zone, Combat Medic Vaccination Team (CMVT), Program Imunisasi dan PJM.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz.

    Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, dan Riffat Mohd Yusof.

  • Warga Kementerian Pertahanan Terima MENHAN Baharu

    Warga Kementerian Pertahanan Terima MENHAN Baharu

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein secara rasmi memulakan tugas selaku pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 1 Sep 2021.

    Sebaik tiba di Dataran Wisma Pertahanan pada jam 0900, Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang turut memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 1 Sep 2021.

    Beliau seterusnya menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang berkekuatan seramai tiga pegawai dan 61 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Abdul Hafizi Abdul Halim.

    Selesai acara KKU, beliau diperkenalkan kepada kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KEMENTAH sebelum melangkah masuk ke pejabatnya.

    Terdahulu, pelantikan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2021 yang lalu, disusuli dengan Istiadat Angkat Sumpah dan Jawatan yang disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 21.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Saifun Hakimi Zainon