Tag: KDYMM Pemangku Raja Pahang

  • Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih SPB Agong XVI

    Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih SPB Agong XVI

    KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hjh Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih SPB YDP Agong XVI di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 8 Jan 2024.

    Majlis Santapan Beradat ini merupakan acara rejimental yang diadakan bertujuan untuk memuliakan baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM sempena tamatnya pemerintahan beliau sebagai pentadbir negara selama lima tahun yang bermula dari tahun 2019 sehingga 2024.

    Terdahulu, keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Puan Sri Datin Seri Ramlah Dawi.

    Acara kemudian dimulakan dengan perarakan masuk lima Panji-Panji SPB iaitu Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    KDYMM SPB YDP Agong XVI telah diputerakan pada 30 Jul 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang merupakan paduka putera sulung Sultan Ahmad Shah, Sultan Negeri Pahang dan baginda meneruskan pengajian dalam bidang ketenteraan di The Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom dari tahun 1978 hingga 1979.

    Seperti kelazimannya, sebagai pewaris takhta, SPB YDP Agong XVI telah didedahkan dengan bidang ketenteraan sejak dari awal lagi, komitmen baginda dalam bidang ketenteraan sangat terserlah sehingga dilantik sebagai Lt M, Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980.

    Baginda juga adalah Kapt bagi pasukan Kor Kavalri Diraja Malaysia dan dilantik menjadi Lt Kol, Rejimen 505 Askar Wataniah (AW) pada 1 Mei 1999. Sifat kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan sentiasa dikagumi sehingga dilantik menjadi Kol, Rejimen 505 AW pada 1 Jun 2000 dan kemudian menjadi Brig Jen Komander Rej 505 AW pada 1 Apr 2004.

    Dalam bidang sukan, baginda amat meminati polo, bola sepak dan hoki malah baginda bukan sahaja aktif di dalam negara malahan juga di luar negara. KDYMM SPB YDP Agong XVI pernah mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England serta mengambil bahagian dalam pertandingan di Singapura, Filipina, Brunei, Argentina, Amerika Syarikat, Sepanyol, Belgium dan Thailand.

    Kehebatan baginda dalam sukan polo terbukti apabila berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA Ke-12 di Singapura pada tahun 1983.

    Turut hadir, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Istiadat Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet ATM Tahun 2022

    Istiadat Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet ATM Tahun 2022

    KUALA LUMPUR: Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2022 disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang (PRP), Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 8 Okt 2022.

    Acara Istiadat Perbarisan Pentauliahan dimulakan dengan KDYMM PRP menerima tabik hormat dan memeriksa kontinjen perbarisan diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan, Mohd Aiman Amzar Mohamad Pazli melibatkan lapan detasmen berkekuatan seramai 643 Pegawai Kadet ATM terdiri daripada gabungan empat kolej perkhidmatan iaitu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI) dan Akademi Tentera Udara (ATU).

    Terdahulu, keberangkatan tiba KDYMM PRP disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Kadet Terbaik ALK, ATD, KDSI dan ATU di mana Pegawai Kadet ini dinilai keseluruhan daripada segi personaliti, kepimpinan, pengetahuan isu semasa serta cemerlang dalam latihan ketenteraan.

    Pegawai Kadet Terbaik ALK (keseluruhan) dianugerahkan kepada Pegawai Rendah Kanan (PRK), Mohd Aiman Amzar Mohamad Pazli, diikuti Pegawai Kadet Terbaik Darat disandang oleh PRK Muhammad Aizat Md Noor manakala Pegawai Kadet Terbaik Laut jatuh kepada Pegawai Kadet KSM, Muhammad Alif Najmi Zahari dan Pegawai Kadet Terbaik Udara (TUDM) dinobatkan kepada PRK Muhammad Amir Safwan Muhammad Fahmi Shazwan.

    Seterusnya, penganugerahan Kadet Terbaik diteruskan lagi dengan penyampaian anugerah Pegawai Kadet Terbaik ATD iaitu PRK Ahmad Khusyairi Abdul Razak serta Pegawai Kadet Terbaik KDSI iaitu Pegawai Kadet Rahmat Jumah manakala Pegawai Kadet Terbaik ATU pula dianugerahkan kepada Pegawai Kadet Mohammad Khairil Ikhwan Anuar.

    Perbarisan kemudian berakhir dengan tiga kali laungan ‘Daulat Tuanku’ sebelum KDYMM PRP berangkat ke Dewan Tun Templer bagi menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Watikah Pentauliahan kepada semua Pegawai Kadet.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan pegawai-pegawai kanan ATM.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Majlis Penutup Kursus Asas Sniper Siri Khas KDYMM Pemangku Raja Pahang

    Majlis Penutup Kursus Asas Sniper Siri Khas KDYMM Pemangku Raja Pahang

    MELAKA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Penutup Kursus Asas Sniper Siri Khas KDYMM Pemangku Raja Pahang di Lapang Sasar 600 Meter (m), Kem Terendak pada 7 Apr 2021.

    Terdahulu keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

    Kursus Asas Sniper ini telah dilaksanakan selama empat minggu bermula pada 15 Mac hingga 7 Apr 2021 di Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK) dimana kursus ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu kelas teori di Kem Sungai Udang, latihan menembak di Lapang Sasar 600 M di Kem Terendak serta latihan dan ujian aplikasi medan di sekitar Lendu.

    Acara diteruskan dengan demonstrasi menembak senjata sniper oleh KDYMM iaitu menembak sasaran jenis Plate di pelbagai jarak, menembak belon di kedudukan 300 M dan menembak Popper Banner.

    Diakhir majlis, acara pemakaian lencana Sniper dan penyampaian Sijil Kursus Asas Sniper Kepada KDYMM yang disempurnakan oleh PTD.

    Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Asisten Ketua Staf Perisikan, Lt Jen Dato’ Rezil Shahidin, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan TD, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid, Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul