Tag: KPPP

  • Perbarisan Penghargaan Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal

    Perbarisan Penghargaan Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal

    PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal di atas segala khidmat bakti, jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang 37 tahun perkhidmatannya.

    “Sebagai organisasi yang merupakan mata dan telinga kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau telah terlibat secara langsung dalam pelbagai operasi perisikan dan bertanggungjawab melengkapkan ketumbukan ini dengan maklumat serta penilaian yang diperlukan untuk Tentera Darat (TD) melaksanakan misi yang diamanahkan.

    “Sebagai seorang pegawai yang mempunyai kemahiran dalam aspek teknikal, beliau diberi kepercayaan terlibat secara langsung dalam program pembangunan Unmanned Aerial System (UAS) dan keupayaan siber dalam organisasi Kor Risik Diraja (KRD).

    “Kepelbagaian tugas dan jawatan yang disandang membuktikan versatiliti dan kredibiliti beliau sebagai seorang pegawai kanan yang wajar dicontohi,” ujar PTD semasa berucap dalam Perbarisan Penghargaan Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 9 Mac 2024.

    Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat Jalan ini terdiri daripada lima detasmen berkekuatan seramai 18 pegawai dan 231 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Shahrizan Haron dari Markas Tentera Darat (MK TD) – Jabatan Arah Risik serta diiringi pancaragam pusat Kor Armor Diraja (KAD).

    Mengimbau latar belakang Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, beliau memulakan kerjaya di dalam TD sebagai Pegawai Kerahan pada 15 Mei 1987 di Rejimen 502 Askar Wataniah sebelum menyertai KRD pada 10 Okt 2002 dan sejak itu beliau terus menonjol dalam perkhidmatan dengan menjawat pelbagai jawatan penting di peringkat TD mahupun ATM.

    Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh beliau adalah Ketua Risik 3 di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Pegawai Staf 1 (PS 1) Risik di Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (MK 1 Div), PS 1 Operasi di MK TD – Cawangan Perisikan, Ketua Geoint di BSPP, Pengarah Bantuan di BSPP, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan dan kemuncaknya sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan di Malaysia Defence Intelligence Organization (MDIO).

    Sejurus tamat perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati, jamuan makan serta tayangan video montaj di Dewan Serbaguna KP ATM sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan ke atas Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal.

    Turut hadir, KPPP merangkap Pengerusi KRD, Lt Jen Dato’ Mohd Razali Alias, Pengarah Perisikan Strategik MDIO, Mej Jen Fauzi Abdul Majid, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Mohammad Fadzil Akirul & LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • HTD 91: Gagasan TD Dan Rakyat, Kekal Siaga

    HTD 91: Gagasan TD Dan Rakyat, Kekal Siaga

    JOHOR: Hari Tentera Darat (HTD) merupakan acara tradisi tahunan yang dianjurkan dengan matlamat mengukuhkan kesatuan warga Tentera Darat (TD) serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat selain bertujuan mengenang kembali segala pengorbanan warga TD terdahulu yang telah berjuang demi mengekalkan kedaulatan tanah air.

    Sambutan pada kali ini bertemakan ‘Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga’ yang membawa maksud bahawa tugas dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara tidak hanya digalas oleh TD semata-mata, sebaliknya perlu digalas bersama rakyat.

    Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga TD yang mempamerkan kecemerlangan pada perbarisan hari ini dengan tujuan membentuk jati diri dan menyuburkan etos kepahlawanan di kalangan warganya.

    “Melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi, TD sentiasa bertekad untuk meningkatkan keupayaan dan kesiagaannya agar berada di tahap tertinggi sepanjang masa,” ujar PTD ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan HTD Ke-91 di Dataran Segamat pada 1 Mac 2024.

    Menurutnya lagi, pemilihan daerah Segamat sebagai lokasi sambutan HTD pada kali ini disebabkan ianya signifikan dalam menghargai kedaulatan dan keamanan negara pada masa kini kerana memiliki sejarah penting semasa Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu di mana tertubuhnya barisan pertahanan pertama tentera berikat di negeri Johor untuk menghalang kemaraan tentera Jepun.

    “Salah satu peristiwa penting adalah tindakan tentera berikat meletupkan jambatan Buloh Kasap untuk melengahkan kemaraan tentera Jepun ke Singapura selain daerah ini juga menjadi saksi peranan aktif masyarakat setempat dalam menentang Parti Komunis Malaya (PKM) semasa era darurat,” jelas PTD.

    Perbarisan HTD Ke-91 yang berkonsepkan perbarisan tempur diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Lt Kol Mohd Shahrul Hamidon melibatkan seramai 38 pegawai dan 1,244 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada enam kontinjen iaitu kontinjen tempur, bantuan tempur, bantuan perkhidmatan, Briged Ke-10 Para (10 Bgd (Para)), Gerup Gerak Khas (GGK) dan kontinjen wanita.

    Selain itu, turut diadakan terbang Lintas Hormat lima buah pesawat yang terdiri daripada tiga buah pesawat A109 LOH dan dua buah pesawat MD 530G serta dimeriahkan dengan segmen perarakan melibatkan aset-aset TD di penghujung acara.

    Dalam perbarisan ini, Kpl Ronald Manchik dari 7 RAMD telah dianugerahkan Sijil Keberanian dan Pisau TD atas tindakannya berjaya menyelamatkan seorang daripada dua mangsa yang lemas di laut pada 13 Okt 2023 di Kem Terendak sekali gus meningkatkan imej dan kredibiliti TD.

    PTD turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT), Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat (APITD), Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN).

    Usai perbarisan, PTD dan warga TD bergerak ke Masjid Jamek Segamat bagi membaca Yasin dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh Pengerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Hj Mohd Rashidi Bujai sebelum melaksanakan Solat Jumaat.

    Turut hadir, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Dato’ Mohd Razali Alias, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

    Gambar: LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • 46 Pegawai Kanan TD Dinaikkan Pangkat

    46 Pegawai Kanan TD Dinaikkan Pangkat

    KUALA LUMPUR: Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) seramai 46 pegawai kanan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 1 Jun 2023.

    Acara dimulakan dengan kenaikan pangkat Brig Jen ke Mej Jen didahului oleh Brig Jen Dato’ Md Rahim Mohammad yang kekal menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf (AKS) Markas Angkatan Bersama – J2 dan diikuti Brig Jen Hj Azelan Abu Bakar dinaikkan ke pangkat yang sama menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD).

    Seterusnya, tiga pegawai dinaikkan ke pangkat Brig Jen melibatkan Kol Dr Mohamad Rudi Othman menjawat jawatan sebagai Pengarah Peperangan Informasi di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) manakala Kol (Dr) Mohd Farid Alias menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan MK PMTTD dan Kol Abu Hashim Jamaludin kekal menjawat jawatan sebagai Pengarah Kor Risik Diraja (KRD).

    Acara diteruskan dengan pemakaian pangkat ke atas Lt Kol Ahmad Rizakee Ahmad Satibi yang dinaikkan ke pangkat Kol dan sesi terakhir berlangsung dengan menyaksikan seramai 40 pegawai dinaikkan ke pangkat Lt Kol.

    PTD mengucapkan tahniah kepada semua pegawai yang dinaikkan pangkat serta menjelaskan bahawa kenaikan pangkat merupakan suatu anugerah yang hadir bersama amanah, tanggungjawab dan tugas yang harus dipikul dengan sebaik-baiknya.

    “Jadikan nilai-nilai murni sebagai pegangan yang akan menjamin kecemerlangan kerjaya saudara dan saudari pada masa hadapan,” jelasnya lagi.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • MMR Sempena Penghargaan PTD Ke-28

    MMR Sempena Penghargaan PTD Ke-28

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis makan malam penghargaannya.

    “Setiap pertemuan pasti ada perpisahan yang meninggalkan seribu satu pengalaman berharga.

    “Saya menyeru kepada semua peringkat pegawai dan anggota supaya memberikan sokongan serta kerjasama sepenuhnya kepada PTD yang baharu demi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik,” ujarnya.

    PTD berkata demikian ketika diraikan bersama isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha dalam Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Penghargaan PTD Ke-28 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 19 Mac 2023.

    Majlis ini dilaksanakan sebagai penghargaan kepada beliau yang akan menamatkan perkhidmatan setelah 43 tahun mencurah bakti dalam memacu Tentera Darat (TD) terus ke hadapan.

    Selain itu, majlis turut diserikan dengan gimik perasmian Buku Biografi PTD Ke-28 yang berkisar tentang perjalanan hidup beliau sebelum diteruskan dengan acara penyampaian cendera kenangan dan persembahan daripada Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

    Pelaksanaan majlis ini sejajar dengan pengukuhan sistem pemerintahan rejimental bagi memperkasakan tradisi ketenteraan selain mengeratkan esprit de corps dalam kalangan warga TD.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf ATM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • ATM Raikan Anggota Cedera

    ATM Raikan Anggota Cedera

    KUALA LUMPUR: Seramai 48 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama waris sama ada masih berkhidmat mahupun bersara yang tercedera ketika bertugas diraikan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera Sempena Hari ATM Ke-89 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 8 Mac 2023.

    Majlis ini disambut pada setiap tahun sebagai tanda penghargaan daripada ATM terhadap jasa bakti dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara terpelihara selain bertujuan mengenang pengorbanan yang dicurahkan ketika melaksanakan operasi atau latihan berisiko tinggi.

    Dalam ucapan PAT, beliau berhasrat acara tradisi dan legasi sebegini diteruskan dalam melestarikan aspek kebajikan warganya pada sebilang masa.

    “Saudara dan saudari yang diraikan serta para pengiring hendaklah sentiasa mengemaskini status terkini agar pihak ATM dapat mengikuti perkembangan semasa bagi menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

    “Usaha ini akan diteruskan dari masa ke masa mengikut keperluan dan kemampuan sehinggalah ke akhir hayat mereka,” jelas PAT.

    Tambahnya lagi, sejak penubuhan 90 tahun yang lalu, ATM tetap teguh dengan pendirian untuk terus memastikan kebajikan warganya sentiasa terpelihara termasuklah kebajikan para waris dan veteran.

    Acara diakhiri dengan penyampaian sumbangan saguhati kepada anggota-anggota yang diraikan oleh PAT dan panglima-panglima perkhidmatan.

    Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Rahman Ayob, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

     

  • MMR Pupuk Semangat Kesatuan KRD

    MMR Pupuk Semangat Kesatuan KRD

    KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal berharap semangat kesatuan yang dipupuk menerusi aktiviti rejimental ini akan terus disemai dan disemarakkan dalam sanubari warga KRD agar jalinan ukhuwah sentiasa berkekalan.

    Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Pegawai Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) KRD Ke-53 bertempat di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 10 Feb 2023.

    Majlis ini turut diadakan bagi menghargai pegawai-pegawai yang telah dan bakal bersara pada tahun 2022/2023 atas jasa bakti yang dicurahkan dalam memajukan KRD.

    “Bagi memastikan KRD sentiasa kekal relevan, barisan pelapis kepimpinan baharu harus berani melakukan transformasi dalam mencorakkan tadbir urus yang lebih inovatif dan praktikal dengan mengaplikasikan teknologi pada masa kini,” ujar Pengerusi KRD.

    Terdahulu, ketibaan Pengerusi KRD bersama isteri, Datin Siti Azura Mohd Anwar disambut oleh Pengarah KRD, Kol Abu Hashim Jamaludin lalu disusuli tiupan Dinner Call dan sesi bergambar.

    Majlis dimulakan dengan Minum Ucap Selamat kepada SPB YDP Agong, MMR dan penyampaian cendera kenangan kepada pegawai Dining Out.

    Acara MMR diserikan lagi dengan upacara memotong kek yang menjadi simbolik sambutan HUT serta persembahan hiburan daripada Farhan Azizan selaku penyanyi jemputan dan Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

    Pelaksanaan acara rejimental ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Dato’ Mohd Razali Alias dan Mantan Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali.

    Gambar: Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • HUT KRD Ke-53: Together Let’s Strive For A Better Future, For A Better Kor Risik Diraja – Pengerusi KRD

    HUT KRD Ke-53: Together Let’s Strive For A Better Future, For A Better Kor Risik Diraja – Pengerusi KRD

    PAHANG: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal optimis dan yakin bahawa KRD akan menjadi sebuah entiti perisikan kelas pertama dengan mandat dan sokongan daripada kerajaan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam meningkatkan keupayaan dan pembangunan kor.

    Pengerusi KRD menekankan kepelbagaian dimensi landskap geostrategik semasa, serantau dan antarabangsa telah merealisasikan beberapa inisiatif seperti penubuhan Tim Nukleus Batalion 166 Risik Tentera Darat (Bn 166  Risik TD) bagi meningkatkan tahap kesiagaan kor untuk menghadapi pelbagai ancaman baharu yang lebih kompleks.

    Susulan itu juga, perolehan aset Unmanned Aircraft System (UAS) dapat meningkatkan lagi pengawasan udara di peringkat operasi daratan di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

    Terdahulu, Pengerusi KRD menerima tabik hormat dan memeriksa Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KRD melibatkan empat detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai dan 185 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Janie Ratib dari Tim Nukleus Bn 166 Risik TD dengan diiringi pancaragam gabungan platun tambor Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) dan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD (Mek)) pada 6 Dis 2022.

    Perbarisan kemudian diteruskan dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan KRD yang disempurnakan oleh Pengerusi KRD ke atas sembilan pegawai dan 13 anggota LLP.

    Anugerah kecemerlangan turut disampaikan bagi kategori sukan melibatkan seramai empat pegawai dan lapan anggota LLP yang merangkul johan dalam perlawanan bola jaring di peringkat TD manakala naib johan di peringkat ATM.

    Sejurus tamat perbarisan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal  sempat menyantuni mantan-mantan Pengerusi dan Pengarah KRD serta veteran-veteran KRD yang hadir dalam sambutan tersebut.

    Usai perbarisan, sambutan HUT KRD diserikan lagi dengan acara memotong pulut kuning dan jamuan makan sebelum Pengerusi KRD beredar meninggalkan majlis.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Dato’ Mohd Razali Alias, Group Managing Director of Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, mantan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Dato’ Sri Abdul Hadi Hj Hussin (B), Presiden Kelab Veteran Risik Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Zahar Hj Hashim (B) dan pegawai-pegawai kanan KRD.

    Gambar: Kapt Mursyideen, PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime & Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • KPPP Lawat 165 Risik TD

    KPPP Lawat 165 Risik TD

    KEDAH: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal telah meluangkan masa melawat Batalion 165 Risik Tentera Darat (Bn 165 MIB) dan warga KRD Zon Utara pada 03 Dis 2020.

    Sebaik ketibaan KPPP beliau menerima tabik hormat Kawalan Suku dari pasukan serta dipertontonkan dengan aksi demonstrasi Agility Shooting dihadapan Markas Bn 165 MIB.

    Seterusnya, KPPP melawat ke kawasan kem dan melihat pameran statik peralatan Bn 165 MIB serta diberikan taklimat oleh Ketua Perisikan Bn 165 MIB, Lt Kol Shayuti Awang berkenaan fungsi serta keberkesanan aset yang sedia ada.

    Pada masa sama KPPP turut menyaksikan pertunjukan demonstrasi keupayaan Bn 165 MIB iaitu pengumpulan maklumat secara taktikal, pengawasan dari udara dan juga penyusupan.

    Dalam ucapan KPPP, beliau menegaskan agar semua warga Bn 165 MIB sentiasa mengekalkan disiplin yang sedia ada dan sentiasa menjaga nama baik pasukan khasnya dan KRD amnya.

    Beliau juga mengingatkan agar semua peringkat anggota supaya tidak terlibat di dalam penyalahgunaan dadah yang boleh menyebabkan terjejasnya perkhidmatan serta kehidupan yang sia-sia.

    “Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang menyalahgunakan dadah kerana kesalahan penyalahgunaan dadah sudah tercatat didalam undang-undang negara,” tegas beliau.

    Turut hadir, Asisten Ketua Staf (AKS) Perisikan, Mej Jen Dato’ Rezil Shahidin, Inspektorat Jen Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Brig Jen Dato’ Osman Jamal dan Pengarah KRD, Kol Mohd Razali Alias.

  • HUT Jubli Emas KRD

    HUT Jubli Emas KRD

    PAHANG: Seramai 15 pegawai dan 173 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Risik Diraja (KRD) terlibat dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Jubli Emas KRD Ke-50 yang disempurnakan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Lt Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 28 Nov 2019.

    Terdahulu dari itu, Lt Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan terdiri daripada empat detasmen diketuai Lt Kol Mohd Radzi Jas diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja.

    Acara diteruskan dengan KPPP menyampaikan Anugerah Kecemerlangan KRD, Anugerah Kecemerlangan Kursus Dalam KP ATM, Anugerah Kecemerlangan Kursus Luar KP ATM, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada pegawai dan anggota LLP yang telah mengharumkan nama KRD khasnya dan TD amnya.

    Dalam ucapan KPPP, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga KRD kerana telah berjaya melaksanakan amanah dalam mengharungi segala cabaran sepanjang 50 tahun kewujudan kor yang dikasihi ini.

    “Sementara itu, pada tahun 2019 sesuai dengan tahun penjajaran Tentera Darat yang menyaksikan penubuhan Divisyen Kelima Infantri dan Briged-Briged Infantri di Sabah secara langsung melibatkan unit-unit perisikan.

    “Selain itu, KRD sebagai tonggak utama di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan akan terus memainkan peranan yang dominan dalam pelbagai disiplin perisikan dimana fokus perancangan pembangunan pada masa kini adalah dalam bidang Artificial Intelligence, Siber dan Unmanned Aerial System (UAS) yang sedang rancak berjalan.

    “Bagi merealisasikan segala perancangan ini, saya menyeru kepada semua warga KRD agar sentiasa memberikan sokongan padu dan berusaha meningkatkan tahap akademik masing-masing supaya sentiasa kompeten untuk menghadapi cabaran semasa dan pada masa hadapan,” ujar KPPP.

    Tambah beliau lagi, sesuai dengan tema Jubli Emas, Transformasi dan Keunggulan KRD, memerlukan perancangan serta persiapan rapi agar kor ini akan berkembang dengan lebih pesat khususnya dalam bidang teknologi dan maklumat.

    Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Ahmad Norihan Jalal, Ketua Unit Khas Pejabat Peguam Negara, Mej Jen Dato’ Ghazali Hj Ismail dan Pengarah KRD, Kol Hj Idros Hj Muhammad.

    Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan, Sjn Saiful Fazley Rusli, Kpl Ainur Aisyah Yahaya dan Saifun Hakimi Zainon

    [custom-facebook-feed album=3078263178869243]

  • Tautan Kasih Erat Hubungan Warga KRD Dengan Veteran

    KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan merasmikan Majlis Tautan Kasih Jubli Emas KRD di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia pada 22 Sep 2019.

    Terdahulu ketibaan Lt Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan isteri disambut oleh Timbalan KPPP, Mej Jen Ahmad Norihan Jalal.

    Majlis Tautan Kasih Jubli Emas KRD diadakan sebagai salah satu aktiviti Jubli Emas KRD sempena sambutan yang Ke-50 tahun selain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim di antara pesara bersama warga KRD yang masih berkhidmat dan sebagai tanda penghargaan ikhlas KRD di atas segala sumbangan serta khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh pesara KRD.

    Dalam ucapan KPPP, beliau menyatakan bahawa tanggal 7 Nov 2019 nanti merupakan satu tarikh keramat kepada semua warga KRD kerana genaplah usia 50 tahun penubuhan KRD.

    “Selari dengan transformasi perkembangan organisasi yang berlaku, maka elemen sumber manusia dan aset-aset perisikan turut berkembang dari saiz kekuatan yang kecil pada peringkat awalnya dan kini seramai 320 pegawai dan 1,698 anggota LLP sedang berkhidmat di dalam mahupun di luar negara.

    “Dalam menyambut tahun keramat ini, saya menyeru agar warga KRD yang masih berkhidmat serta veteran KRD hendaklah kekal menyimpulkan ikatan silaturahim yang utuh dan mampan demi memartabatkan imej KRD ke arah kepentingan serta kebaikan bersama,” ujar KPPP.

    Majlis diteruskan dengan Pelancaran Buku Sejarah KRD, Transformasi dan Keunggulan dengan cetusan idea dari mantan KPPP, Lt Jen Dato’ Sri Abdul Hadi Hj Hussin sejak tahun 2015 di mana segala perkembangan dan kemajuan KRD melakar pelbagai sejarah telah dibukukan sebagai rujukan generasi akan datang.

    Turut hadir mantan Ketua Staf Perisikan Pertahanan pertama, Jen Tan Sri Dato’ Ghazali Mohd Seth (B), mantan Ketua Staf Perisikan Pertahanan ketujuh, Jen Tan Sri Dato’ Ghazali Hj Che Mat (B), mantan Pegawai Memerintah KRD, Jen  Tan Sri Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Abdul Hamid (B), Presiden Kelab Veteran Risik Malaysia (KVRM), Mej Jen Dato’ Zahar Hashim (B) dan Pengarah KRD, Kol Hj Idros Hj Muhammad.

    Gambar: Sjn Nurulhaswani Ruzaini dan Sel GEOINT, BSPP