Tag: PATI

  • Kerjasama Dengan Agensi Lain Dalam OP MERPATI 1 Cemerlang – PTD

    Kerjasama Dengan Agensi Lain Dalam OP MERPATI 1 Cemerlang – PTD

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain memaklumkan sehingga kini, pelaksanaan Operasi Bersepadu bersama agensi kerajaan lain di Negeri Johor dalam OP MERPATI 1 amat cemerlang kerana telah berjaya menangkap 24 Tekong melibatkan 13 Tekong Darat dan 11 Tekong Laut serta 1,108 PATI dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2.6 juta.

    “Penguatkuasaan kawalan sempadan negara yang dilakukan secara bersepadu di antara pasukan terlibat membuahkan kejayaan cemerlang sekaligus dapat membanteras kemasukan PATI ke negara terutama di kawasan Johor.

    “Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan OP BENTENG terutamanya di Johor adalah kerana wujudnya perancangan risikan dan kerjasama erat khususnya antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Johor dan TD melalui Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd),” jelas PTD.

    PTD berkata demikian semasa sidang media dalam lawatan beliau ke Markas Taktikal Pos Tg Sepang yang merupakan kawasan OP BENTENG bagi sektor 7 Bgd pada 30 Dis 2020.

    Tambahnya lagi, kawasan operasi di Johor ini adalah antara kawasan operasi yang paling berjaya kerana mempunyai aset dan sistem teknologi seperti radar dan dron yang membuat pemantauan secara berterusan di kawasan sempadan.

    Menurutnya, kejayaan ini juga berikutan daripada pembabitan serta koordinasi atur gerak antara komponen darat, maritim serta penggunaan aset dan teknologi melaksanakan pemantauan secara berterusan.

    “Saya merakamkan penghargaan atas kerjasama yang telah diberikan bagi memastikan kejayaan OP BENTENG ini kepada Ketua Polis Johor, Komisioner Polis (CP) Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay, Komander Komponen Darat dan Maritim (LCC & MCC), Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Pasukan RELA dan penduduk tempatan sekitar Bandar Penawar yang tampil berkongsi maklumat.

    “Manakala National Task Force (NTF) yang diwujudkan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 akan diteruskan dengan pengstrukturan semula fungsi dan peranan bagi mengawal kedaulatan negara,” katanya.

    Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohamed Fauzi Kamis dan dimulakan dengan penyampaian taklimat konsep aturgerak operasi yang disampaikan oleh Panglima 7 Bgd dan Pegawai Memerintah Batalion yang beroperasi di sektor tersebut.

    PTD kemudiannya dipertontonkan dengan Demonstrasi Aturgerak OP BENTENG iaitu Pengoperasian Drone oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta Pengoperasian Kereta Perisai GEMPITA.

    Selain itu, turut diadakan Demonstrasi Aturgerak Anjing Perang dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dan diakhiri dengan Demonstrasi Prosedur Tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

    Pada masa sama, PTD turut berjumpa dengan anggota yang sedang melaksanakan operasi dan menasihatkan mereka agar menjaga displin dan tidak melakukan perkara di luar bidang kuasa yang boleh menjejaskan nama baik TD serta terus komited menjalankan amanah yang diberi.

    Turut hadir, Pemangku Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Polis Johor, Panglima Laut Wilayah 1, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Penolong Pengarah MKN Negeri Johor, Pengarah Maritim Johor dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon

  • 1 Div Halang Penyeludup PATI

    1 Div Halang Penyeludup PATI

    SARAWAK: Pasukan Tentera Darat (TD) di bawah Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berjaya melakukan pengusiran terhadap cubaan memasuki negara ini tanpa melalui laluan yang sah pada bulan Dis 2020 semasa melaksanakan OP BENTENG.

    Kejayaan tersebut dilaksanakan oleh unit yang sedang melaksanakan operasi berjaya mengusir lima orang PATI yang cuba menyelinap masuk ke Sarawak dan barang-barang dipercayai untuk diseludup masuk yang berlaku dalam empat kejadian berasingan pada bulan Dis 2020 di sempadan Malaysia–Indonesia.

    Kejadian pertama, berlaku di Sektor Balai Ringin, dua PATI dari Indonesia tela ditahan dan disoal siasat dan diusir keluar ke sempadan Malaysia-Indonesia.

    Sementara itu, di Lubuk Antu anggota yang sedang bertugas menjumpai tiga beg penuh berisi pakaian harian ditinggalkan di tepi pokok kelapa sawit.

    Kejadian ketiga pula berlaku di Sektor Balai Ringin di mana Kumpulan Ronda Berkenderaan telah menahan tiga PATI Indonesia yang cuba merentasi sempadan Malaysia-Indonesia.

    Kejadian keempat pula di Sektor Tebedu, anggota ronda telah menjumpai 10 beg guni penuh berisi pakaian, alat solek, ubat-ubatan dan rempah yang bernilai RM17,500 ditinggalkan di belakang sebuah rumah kosong tersebut.

    Kes-kes pencerobohan dan cubaan penyeludupan barangan di sempadan Sarawak–Kalimantan Barat dilihat semakin meningkat. Justeru, anggota keselamatan terutama TDM sentiasa bersedia dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan Negara.

    Pemerintahan Markas 1 Div bersama pasukan-pasukan keselamatan di bawah National Task Force (NTF) melalui inisiatif OP BENTENG terus komited dalam mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap masuk ke Sarawak dikala pandemik Covid-19 masih belum reda.

  • 11 RAMD Gagalkan Usaha PATI

    SARAWAK: Anggota Kompeni Charlie dari 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) melaksanakan serkap di laluan pagar belakang Inland Port berhampiran Sempadan Malaysia-Indonesia pada 9 Feb 2018.

    Hasil daripada penungguan selama 11 jam tersebut pada 10 Feb 2018 jam 0800 pagi kumpulan serkap tersebut telah mendapati seramai tujuh orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sedang berjalan menuju ke arah Malaysia melalui lorong tikus di jarak lebih kurang 300m daripada sempadan Malaysia-Indonesia.

    Kumpulan serkap tersebut telah bertindak dan menahan kesemua PATI tersebut. Hasil dari penahanan dan pemeriksaan yang telah dibuat, kesemua PATI tersebut adalah kerakyatan Indonesia dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

    Kumpulan PATI tersebut terdiri daripada seorang wanita dan enam orang lelaki yang bertujuan untuk bekerja di ladang sawit di Bintulu.

    Pasukan keselamatan 11 RAMD telah membawa PATI tersebut ke Balai Polis Tebedu dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Gambar: Sjn Ismail Abang

  • TD Gagalkan Cubaan PATI Masuk Malaysia Secara Haram

    KELANTAN: Tentera Darat berjaya menahan seramai 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk dua daripadanya perempuan warga Myanmar dalam Operasi Wawasan Sektor 8 Briged di Rantau Panjang pada 16 Mei 2017.

    Kesemua PATI yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan pengenalan diri yang meragukan semasa hendak menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Malaysia.

    Tindakan pantas pasukan keselamatan TD telah berjaya menahan kumpulan PATI sebaik sahaja bot merapati tebing sungai dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat tulisan di tangan mereka yang menandakan kod kawasan mereka ini akan dihantar bekerja.

    PATI tersebut terus dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan pihak polis selanjutnya dan kejayaan ini merupakan kejayaan tangkapan PATI yang keempat bagi tahun ini yang mana menunjukkan keseriusan pihak keselamatan tentera dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

    Panglima 8 Bgd, Brig Jen Nazari Abd Hadi melahirkan rasa bangga beliau terhadap pasukan yang beroperasi di sepanjang sempadan Negara terutamanya di sempadan Malaysia Thailand.

    Beliau juga berharap pasukan yang beroperasi akan terus meningkatkan prestasi kerja yang baik ini dan sentiasa berusaha mempertahankan kedaulatan negara.