MELAKA: Pengerusi Kor Kesihatan Diraja (KKD), Lt Jen Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran atas sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) KKD Ke-58 serta menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga KKD yang bertungkus lumus berkorban demi memastikan warga ATM sentiasa mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik.
“58 tahun perjalanan KKD dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sekadar angka akan tetapi ia adalah saksi kepada kecekapan, kesetiaan dan ketahanan setiap warga KKD yang sentiasa siaga membantu di barisan hadapan menyelamatkan nyawa, memberi harapan dan terus menerus meniup semangat juang kepada pahlawan dan srikandi watan”.
“Tanpa mengenal lelah, tanpa menghiraukan kepayahan, KKD berjuang bukan hanya untuk merawat tetapi juga melindungi dengan penuh dedikasi, keberanian dan keikhlasan.”
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua (warga KKD) kerana menjadi tonggak kekuatan mereka yang bertugas mempertahankan tanah air, semoga segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan dibalas dengan kesejahteraan, perlindungan dan keberkatan yang berpanjangan, ujar beliau ketika berucap di Padang Kawad Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN) sempena Perbarisan HUT KKD Ke-58 yang melibatkan 12 pegawai dan 148 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) pada 11 Mei 2025.
Terdahulu acara dimulakan dengan perbarisan masuk padang diikuti pemeriksaan perbarisan oleh pengerusi KKD serta perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat diketuai oleh Lt Kol (Dr) Mohd Khairul Ameer Yahaya dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera.
Dimasa yang sama, Acara Penganugerahan Sijil Kepujian Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (KPKK) turut diadakan kepada individu yang mendapat pengiktiran tertinggi sekurang-kurangnya di peringkat perkhidmatan atau kementerian serta Acara Penyampaian Anugerah Kecemerlangan bagi kategori Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) dan Pusat Pergigian Angkatan Tentera PGAT yang terbaik.
Seusai perbarisan majlis diteruskan dengan acara pemotongan kek sempena HUT Ke-58 KKD dan diakhiri dengan maljlis ramah mesra serta jamuan makan pengerusi KKD bersama warga KKD.
Selain itu, bersempena HUT KKD Ke-58 Pengerusi KKD, Lt Jen Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh turut menzahirkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah selaku Kol Yang Dipertua KKD serta kepada pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat (TD) diatas segala sokongan serta tunjuk ajar yang diberikan demi memastikan KKD berkembang selari dengan peredaran zaman.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi KKD, Mej Jen Dato’ (Dr) Zulkifli Zainal Abidin, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Mej Jen Dato’ (Dr) Rushdi Abdullah dan Pengarah Kesihatan, Brig Jen (Dr) Faizal Baharuddin.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Syfiqrullah Mazlan