Tag: Provos Marsyal Darat

  • Perbarisan Penghargaan Mej Jen Azman @ Norazman Hj Selamat

    Perbarisan Penghargaan Mej Jen Azman @ Norazman Hj Selamat

    KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mej Jen Azman @ Norazman Hj Selamat atas segala khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan beliau dalam memastikan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) terus utuh, relevan dan kompeten.

    “Ketokohan dan kecemerlangan beliau seharusnya diteladani serta dijadikan sebagai panduan oleh seluruh warga KPTD agar dapat membentuk keperibadian yang terpuji dalam diri masing-masing,” ujar TPTD.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Azman @ Norazman Hj Selamat di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) pada 28 Jul 2023.

    Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat melibatkan empat detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai bersama 173 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Nizar Azmir Abd Malek dari Jabatan Arah Polis Tentera dengan diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja (RRD).

    Mej Jen Azman @ Norazman Hj Selamat menyeru kepada seluruh warga KPTD agar berupaya menjadi pakar dalam penyiasatan dan keselamatan fizikal serta mencegah jenayah selari dengan pengalaman dan kematangan di tahap profesional.

    Mengimbau latar belakang Mej Jen Azman @ Norazman Hj Selamat, beliau mula menyertai tentera sebagai Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek pada 7 Jun 1982 dan seterusnya ditauliahkan pangkat Lt M pada 23 Jul 1983 dengan menyandang jawatan selaku Ketua Platun di 4 Kompeni KPTD.

    Antara perjawatan utama yang pernah disandang ialah Komandan PULAPOT, Ketua Cawangan Siasatan Jenayah (CSJ), Pengarah KPTD, Provos Marsyal Darat dan jawatan terakhir beliau merupakan Ketua Provos Marsyal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta turut melakar sejarah apabila menjadi Pegawai KPTD pertama dinaikkan ke pangkat Mej Jen.

    Selesai perbarisan, acara diteruskan dengan jamuan makan, tayangan montaj dan penyampaian cendera kenangan sebelum diakhiri dengan acara Street Lining sebagai simbolik penghargaan kepada Mej Jen Azman @ Norazman Hj Selamat.

    Turut hadir, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Anuar Abdul Wahab, Pengerusi KPTD, Brig Jen Abdul Wahab Geoh dan Provos Marsyal Darat, Brig Jen Muhammad Rafi Abdul Kadir.

    Gambar: Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Serah Terima Tugas Pegawai Kanan TD

    Serah Terima Tugas Pegawai Kanan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyaksikan acara Serah Terima Tugas Pegawai Kanan TD melibatkan perjawatan Pengerusi Rejimen Artileri Diraja (RAD), Ketua Jurutera, Pengarah Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Provos Marsyal Darat dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PUSTEKMA) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 17 Jan 2023.

    Acara dimulakan dengan Serah Terima Tugas Pengerusi RAD di antara Brig Jen Dato’ Zulmajdi Yunus dan Mej Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar, diikuti Serah Terima Tugas Ketua Jurutera yang menyaksikan Brig Jen Fazillah Ibrahim menyerahkan tugas kepada Brig Jen Shaharuddin Mohd Noh.

    Seterusnya, Serah Terima Tugas Pengarah PUTD melibatkan Brig Jen Yazid Yusuf dan Brig Jen Mohd Zaki Abu manakala bagi perjawatan Provos Marsyal Tentera Darat berlaku di antara Mej Jen Azman @ Norazman Selamat dan Brig Jen Muhammad Rafi Abdul Kadir.

    Sesi terakhir menyaksikan Kol Rosli Maarof menyerahkan tugas kepada Kol Hamidi Achin selaku Pengarah PUSTEKMA baharu.

    Kesemua acara disempurnakan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas dan pertukaran nota sebagai simbolik.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi