Tag: Rumah Keluarga Angkatan Tentera

  • PTD Tinjau RKAT Sungai Besi dan Projek Masjid Thoriq Bin Ziyad

    PTD Tinjau RKAT Sungai Besi dan Projek Masjid Thoriq Bin Ziyad

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Azhan Md Othman mengadakan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Jalan Labuan dan meninjau projek naiktaraf Masjid Thoriq bin Ziyad Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi pada 22 Jan 2026.

    Lawatan ini bertujuan untuk melihat serta menilai keadaan kediaman dari aspek keselamatan dan mengenal pasti keperluan senggaraan bagi menjamin kesejahteraan para penghuni dimana RKAT Jalan Labuan ini didiami seramai 1,244 keluarga anggota tentera yang bertugas sekitar Kem Sungai Besi.

    Melalui lawatan sebegini, PTD dapat menilai kualiti serta pelaksanaan pembaikan yang dijalankan agar menjamin keselamatan dan keselesaan para pengguna khususnya warga Tentera Darat.

    Terdahulu PTD dan delegasi diberikan taklimat semasa berhubung aspek senggaraan serta kemudahan yang disediakan di kawasan perumahan tersebut.

    PTD juga meluangkan masa beramah mesra bersama beberapa anggota yang tinggal disitu sambil bertanyakan keadaan semasa kediaman rumah masing-masing.

    Sementara itu, projek naiktaraf Masjid Thoriq bin Ziyad Tentera Darat sedang dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan PTD diberi taklimat ringkas mengenai status semasa projek yang dijangka siap sebelum 18 Feb 2026.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Asisten Ketua Staf Logistik Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Abd Hafiz Ahmad dan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Dato’ Pahlawan Ts Fazillah Ibrahim.

    Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Meor Danish Aniq Mohd Faizul, Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri & Pbt Adam Adham Che Abdullah

  • Lawatan Kebajikan PTD Ke atas Anggota 2 Div

    Lawatan Kebajikan PTD Ke atas Anggota 2 Div

    PULAU PINANG: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain bersama Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Zainuriah Hj Mustapha melakukan Lawatan Kebajikan keatas anak anggota formasi 2 Div yang mengalami penyakit kritikal di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) pada 10 Dis 2020.

    Seramai tiga waris anggota disantuni terdiri dari anak kepada Kpl Mohamad Helmi Amran dari pasukan 2 RAMD, iaitu adik Muhammad Harith Aisy Qusyairi Mohd Helmi berusia enam tahun yang menghidapi penyakit Hypoxic Ischemic Encephalopathy sejak lahir.

    Penyakit tersebut berkaitan masalah saraf otak dan kini terlantar serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan di mana perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Pulau Pinang.

    Lawatan kebajikan diteruskan dengan PTD menyantuni Siti Hazirah Hassan isteri kepada Kpl Mohamad Fadli Mangsyor, anggota Markas Artileri Div 2 Div yang dikesan menghidap Kanser Limfoma Tahap dua pada bulan Jul 2020 dan telah menjalani enam siri rawatan kemoterapi sejak Ogos 2020 yang lalu.

    PTD mengakhiri Lawatan Kebajikan dengan menyantuni adik Nur Jannah Sabhi Azim, iaitu anak kepada Kpl Sabhi Azim Shuhaimi, anggota 2 RAMD.

    Adik Nur Jannah yang berusia dua tahun telah disahkan menghidapi penyakit Cornelia De Lange Syndrome iaitu sejenis penyakit berkaitan masalah genetik dan tumbesaran.

    Akibat pelbagai komplikasi kesihatan yang dialaminya, adik Nur Jannah kini mengalami masalah pendengaran serta rabun penglihatan dan sedang menunggu ketetapan dari pihak Hospital Pulau Pinang untuk melaksanakan pembedahan di perut bagi memasukkan Ryles Tube (saluran pemakanan).

    Acara diakhiri sumbangan PTD berbentuk hamper, barangan harian, sumbangan peribadi PTD dan sumbangan dari Tabung Kebajikan TD bagi meringankan beban yang ditanggung anggota.

    Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Dato’ Rezil Shahidin, Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim Khalid, Pengarah Infantri, Brig Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Pengerusi Rejimen Artileri Diraja, Brig Jen Dato’ Dr Hj Ibrahim Yasir dan Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat, Pegawai Waran I Mohd Pauzi Mohd Ali.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Menteri Kanan Pertahanan Lawat 96 DPP

    Menteri Kanan Pertahanan Lawat 96 DPP

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melakukan Lawatan Kerja ke 96 Depoh Pangkalan Peluru (96 DPP) pada 28 Nov 2020.

    Lawatan ini bertujuan untuk melihat keadaan rumah dan merancang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) kem tersebut.

    Pegawai Pemerintah 96 DPP, Lt Kol Samsudin Aikhsan telah menyampaikan taklimat dan orientasi depoh lalu Menteri Kanan Pertahanan kemudiannya dibawa melawat ke kompleks RKAT bagi melihat sendiri keadaan penginapan keluarga.

    Sepanjang program lawatan beliau sempat meluangkan masa menyantuni adik Nuzul Niyaz Zulkifli, anak kepada Sjn Zulkifli Ahmad yang telah disahkan menghidap penyakit Autism Spectrum Disorder (ASD) dan Global Development Delay (GDD) oleh Pegawai Pakar Perubatan Kanak-Kanak dari Hospital Enche Besar Hajah Khalsom, Kluang, Johor ketika berumur empat tahun.

    Adik Nuzul Niyaz perlu menjalani rawatan pemeriksaan bersama Pakar Terapi Percakapan, Pakar Terapi Cara Kerja, Pakar Psikiatri dan Pakar Kanak-Kanak di 94 Hospital Angkatan Tentera Terendak.

    Sjn Zulkifli Ahmad merupakan anggota Kor Ordnans Diraja (KOD) yang berkhidmat di 96 DPP dan telah mendirikan rumah tangga bersama Siti Nuro Yahaya.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Logistik Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Md Fuad Abd Jalil, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan TD, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail dan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan TD, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon