Tag: Timbalan Panglima Tentera Darat

  • Disiplin Dan Profesionalisme Tunjang Kekuatan Organisasi – PTD

    Disiplin Dan Profesionalisme Tunjang Kekuatan Organisasi – PTD

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana seramai 2,234 para Perajurit Muda (PM) Lelaki dan 263 PM Wanita yang begitu bertekad tinggi serta bersemangat waja telah dapat menamatkan latihan asas dengan jayanya walaupun dibatasi norma baharu COVID-19.

    “Syabas dan tahniah diucapkan kerana berjaya menempuh setiap cabaran dan rintangan yang menjadi dasar pembentukan jati diri seorang pahlawan sebagai persediaan menggalas amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara tercinta.

    “Kejayaan terhasil daripada kegigihan usaha serta kesabaran tinggi yang ditunjukkan oleh para PM sepanjang latihan serta doa yang tidak pernah putus dipanjatkan ke hadrat Allah SWT.

    “Saya berkehendakkan nilai-nilai murni yang dipupuk dan disuburkan sepanjang latihan akan terus dipraktikkan sewaktu melaksanakan tugas dan tanggungjawab di pasukan masing-masing kelak,” tegas PTD.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 194/2021 Dan Wanita Siri 47/2021 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 21 Mei 2022.

    Tambah beliau lagi, Tentera Darat (TD) tidak akan sesekali berkompromi dengan salah laku yang dilakukan oleh warganya kerana aspek disiplin dan profesionalisme amat dipandang serius di mana ianya merupakan tunjang kekuatan organisasi.

    “Oleh itu, saya menyeru saudara dan saudari untuk meneguhkan niat dengan sentiasa menjaga etika serta budaya ketenteraan agar dapat melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

    Terdahulu, PTD menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan diketuai oleh PM Keseluruhan Terbaik iaitu PM Mohamad Nor Farhan Mahzal yang berasal dari Segamat, Johor dan berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

    Dengan pelaksanaan fasa endemik, perbarisan pada kali ini dilaksanakan mengikut tradisi rejimental dengan mengehadkan kehadiran keluarga sebagai penonton bagi menyuntik semangat para PM yang terlibat.

    Seramai 2,497 PM terdiri daripada 83 PM berkelulusan Diploma, sembilan berkelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), 13 berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), 107 berkelulusan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), 179 berkelulusan SKM dan 2,106 PM berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula 26 Nov 2021.

    Selain itu, PTD turut menyampaikan anugerah dan piala pusingan kepada lapan PM sebagai pengiktirafan di atas setiap pencapaian serta kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang menjalani latihan.

    PM yang cemerlang menerima anugerah meliputi beberapa kategori di mana PM Lelaki Kecergasan Jasmani Terbaik diberikan kepada PM Edison, PM Lelaki Akademik Terbaik disandang oleh PM Nelson Ovinver Jemis, PM Lelaki Kawad Terbaik dianugerahkan kepada PM Aiman Ruzzaini Romzi dan PM Lelaki Ketenteraan Terbaik diberikan kepada PM Muhamad Aminur Rasyid Mat Radzi.

    Manakala, bagi PM Wanita Kecergasan Jasmani Terbaik dianugerahkan kepada PM Nur Nazwa Herman, PM Wanita Akademik Terbaik diberikan kepada PM Nur Farah Huda Azman dan PM Wanita Terbaik disandang oleh PM Nur Syafiqah Liyana Mohd Noor.

    Acara perbarisan rejimental seumpama ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.

    Gambar: Mej Suriatie Alias, SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon

  • Majlis Khatam Al-Quran TD Dan Iftar Warga Kem Terendak Bersama PTD

    Majlis Khatam Al-Quran TD Dan Iftar Warga Kem Terendak Bersama PTD

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan isteri, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) dan Berbuka Puasa bersama Warga Kem Terendak bertempat di Masjid As Syuhada pada 20 Apr 2022.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan Khatam Al-Quran dan diteruskan dengan acara penyampaian cenderahati kepada peserta Tadarus Al-Quran terdiri daripada lima pegawai dan seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang disempurnakan oleh PTD.

    Acara diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa serta Solat Maghrib secara berjemaah dan kemudian PTD diiringi pemangku Panglima 10 Bgd (Para), Kol Khairul Anwar Soib untuk menyalakan meriam buluh sebagai simbolik perasmian acara berbuka puasa sebelum hadirin disajikan dengan jamuan makan malam.

    Selain itu, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha menyampaikan sumbangan kepada 10 orang anak yatim dari Lembaga Pengurusan Anak Yatim dan Miskin Islam (PAYASUM) serta empat orang balu TD penerima sumbangan daripada Sinar Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM).

    Manakala, PTD pula menyempurnakan acara penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, saudara baharu dan anggota yang cedera kepada seramai 31 pegawai dan anggota LLP daripada pasukan-pasukan di bawah naungan Kem Terendak.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada PTD oleh pemangku Panglima 3 Div, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Mej Jen Malek Razak Sulaiman Teraju Kepimpinan Cwg OPLAT MK TD

    Mej Jen Malek Razak Sulaiman Teraju Kepimpinan Cwg OPLAT MK TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Asisten Ketua Staf (AKS) Operasi dan Latihan (OPLAT) Markas Tentera Darat (MK TD) di Pusat Operasi Tentera Darat (POTD) pada 23 Mac 2022.

    Serah Terima Tugas ini melibatkan Mej Jen Baharuddin Ahmad yang menyerahkan tugas AKS OPLAT kepada Mej Jen Malek Razak Sulaiman.

    Simbolik acara disempurnakan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas dan disusuli penyerahan nota tersebut.

    Terdahulu, PTD menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan ke atas Mej Jen Malek Razak Sulaiman yang dinaikkan pangkat dari Brig Jen ke Mej Jen bertempat di Pejabat PTD.

    Pelaksanaan acara rejimental ini memenuhi Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

     

  • Aktiviti Kerohanian Warnai Sambutan HTD Ke-89

    Aktiviti Kerohanian Warnai Sambutan HTD Ke-89

    KUALA LUMPUR: Seramai 500 pegawai bersama pasangan dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) sekitar Lembah Klang terlibat dalam Program Kerohanian peringkat Tentera Darat (TD) bertempat di Masjid Thariq bin Ziyad, Sg Besi pada 10 Mac 2022.

    Majlis ini dilaksanakan sempena Hari Tentera Darat (HTD) Ke-89 yang bertemakan Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin dengan niat memohon keredhaan dan keberkatan ilahi setelah TD berusia 89 tahun.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pengarah Agama MK TD, Brig Jen Zainal Abidin Mohamed Salleh sebelum disusuli dengan Solat Maghrib secara berjemaah.

    Majlis diteruskan dengan Ceramah Perdana Israk Mikraj yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Mohamad Uda Kassim bertujuan untuk memberi pendedahan secara terperinci mengenai sejarah peristiwa Israk Mikraj dan hikmah serta pelajaran yang boleh diambil daripada peristiwa tersebut.

    Sejurus selesai Solat Isyak, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan penyerahan cenderahati kepada penceramah jemputan semasa sesi jamuan makan malam di Wisma Perwira TD.

    Pelaksanaan program seumpama ini sejajar dengan Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Tonggak Ketiga, Pelestarian Kesejahteraan Warga dan Tonggak Kelima, Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Sambutan Hari Wanita dan Program Wanita Solehah TD Hargai Jasa dan Khidmat Bakti Anggota

    Sambutan Hari Wanita dan Program Wanita Solehah TD Hargai Jasa dan Khidmat Bakti Anggota

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyatakan bahawa Majlis Sambutan Hari Wanita dan Program Wanita Solehah Tentera Darat (TD) Tahun 2022 amat bermakna kerana ia merupakan salah satu cara perkhidmatan menzahirkan tanda penghargaan serta terima kasih kepada seluruh anggota wanita TD di atas segala sumbangan dan khidmat bakti dalam memartabatkan angkatan ini.

    Meskipun penglibatan wanita dalam bidang ketenteraan bermula dengan angka yang amat kecil iaitu seramai 40 orang pada tahun 1963, namun angka tersebut kini meningkat sehingga mencecah 7.8 peratus atau bersamaan 6,684 orang daripada keseluruhan warga TD.

    Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Tentera Darat (JKHEWTD), Lt Kol Maslina Abu Said bersama barisan Ahli Jawatankuasa.

    “Acara yang dianjurkan ini juga dapat menjadi platform untuk menyampaikan maklumat dan informasi terkini berhubung dengan peraturan serta dasar yang melibatkan anggota wanita TD.

    “Selain itu, peluang seperti ini perlu diambil bagi meningkatkan ilmu pengetahuan supaya anggota wanita TD lebih berketerampilan, berintelektual dan berkemahuan untuk meningkatkan diri dari segi ilmu pengetahuan agar kita semua mampu menguasai apa jua bidang dalam usaha menuju ke arah yang lebih cemerlang.

    “Wanita TD dilihat semakin relevan dalam pelaksanaan tugas semasa ketenteraan seperti yang digariskan di dalam direktif PTD.

    “Oleh yang demikian, peringkat tertinggi TD mengambil inisiatif untuk membangunkan taraf profesionalisma wanita TD dalam bentuk hala tuju strategik,” jelas PTD.

    Beliau berucap sempena Majlis Perasmian Hari Wanita Tentera Darat Ke-57 dan Program Wanita Solehah Tentera Darat di Dewan Salahuddin Al-Ayubi, Masjid Khalid Al-Walid pada 7 Mac 2022.

    Tambah PTD lagi, beliau menyeru kepada seluruh anggota wanita TD untuk meneliti, memahami, memperhalusi dan mengambil tindakan yang bersesuaian berdasarkan tugas dan peranan masing-masing.

    “Wanita TD juga hendaklah sentiasa bersedia untuk berkhidmat mengikut piawaian yang ditetapkan oleh TD dan jangan jadikan kelembutan wanita sebagai satu alasan kerana di sebalik kelembutan perlu ada sifat ketegasan dalam pelaksanaan tugas sebagai seorang anggota tentera.

    “Saya berkehendakkan agar saudari semua terus gagah dan setia memelihara imej TD khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya dalam melaksanakan tugas dengan cemerlang serta elakkan dari melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kredibiliti kita sebagai sebuah organisasi terbilang,” tegasnya.

    Majlis diakhiri dengan penyerahan cenderahati kepada PTD yang disampaikan oleh Pengerusi JKHEWTD, Lt Kol Maslina Abu Said.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo dan AKS Sumber Manusia merangkap Penasihat JKHEWTD, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

  • HTD Ke-89 : PTD Komited Capai Enam Fokus Tahun 2022

    HTD Ke-89 : PTD Komited Capai Enam Fokus Tahun 2022

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyifatkan demonstrasi dinamik yang dipamerkan merupakan manifestasi Tentera Darat (TD) kepada kerajaan dan rakyat bahawa TD sentiasa bersedia pada sebilang masa dan berupaya melaksanakan segala tugasan serta misi yang diamanahkan.

    “Sepanjang tempoh 89 tahun, TD telah menempa kejayaan demi kejayaan, antaranya menamatkan pemberontakan komunis, mematahkan konfrontasi oleh negara jiran, memainkan peranan signifikan sebagai pengaman di negara-negara bergolak, menggagalkan pencerobohan anasir-anasir pengganas serta menjadi peranan utama dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat bencana alam.

    “Dalam Amanat Tahun 2022, kita telah mencapai banyak kejayaan untuk kelima-lima tonggak yang digariskan hasil daripada kerja keras serta komitmen tinggi yang diberikan oleh seluruh warga TD.

    “Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa perkara yang belum dicapai sepenuhnya seperti tertangguhnya beberapa rancangan perolehan, jumlah Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) belum mencukupi, kelengkapan Head To Toe belum mencapai tahap seratus peratus serta kekangan pelaksanaan kerjasama pertahanan akibat penularan wabak COVID-19,”  ujar PTD dalam perutusannya semasa Perbarisan Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-89 di Padang Kawad Kem Segenting pada 1 Mac 2022.

    Tambah beliau lagi, memandangkan aspek meningkatkan kebajikan warga TD akan terus diberi tumpuan, maka tema HTD pada tahun ini, Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin.

    Secara tidak langsung, pemilihan tema ini sejajar dengan amanat yang disampaikan oleh beliau minggu lalu yang menggariskan enam fokus iaitu aspek kesejahteraan dan kebajikan warga TD, usaha meningkatkan kesiagaan dan keupayaan TD, penstrukturan dan penyusunan organisasi TD, pemerkasaan tadbir urus dan perbelanjaan berhemah, meningkatkan diplomasi pertahanan dan komitmen TD untuk membantu kerajaan dalam Military Operations Other Than War (MOOTW).

    PTD turut menyatakan cabaran yang mungkin boleh menjejaskan usaha mencapai fokus tahun ini adalah ketidakstabilan persekitaran geo-politik dunia serta ancaman penularan wabak COVID-19 yang masih belum menampakkan pengakhirannya.

    “Saya menyeru kepada semua peringkat kepimpinan untuk sentiasa mempersiapkan anggota masing-masing dengan melaksanakan latihan yang berkesan, menerapkan kemahiran-kemahiran khusus serta meneguhkan aspek kerohanian dan jati diri anggota sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” tegas PTD.

    Terdahulu, PTD menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum diteruskan dengan segmen demonstrasi dinamik yang mempersembahkan 72 aset serta persenjataan membabitkan kenderaan seperti kereta kebal PT 91-M Pendekar, Lipan Bara, kenderaan perisai 8×8 Gempita dan kenderaan perisai berantai Adnan.

    Turut dipertontonkan Meriam 105mm LG 1 MK III, Helikopter LOH A109 Agusta, SUPACAT, kenderaan pengangkut senjata VAMTAC, motorsikal Scrambler, 72 Bot Tempur, Rigid Inflatable Boat (RIB) dan lain-lain aset.

    Selain itu, perbarisan tempur berkekuatan seramai 35 pegawai dan 753 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) melibatkan lapan detasmen terdiri daripada detasmen Tempur Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), detasmen Gerup Gerak Khas, detasmen 10 Briged (Para), detasmen Tempur 3 Div, detasmen Bantuan Tempur 3 Div, detasmen Bantuan Tempur 2 Div, detasmen Bantuan Khidmat 2 Div dan detasmen Wanita TD turut melaksanakan Kawad Berjalan Lalu Dalam Masa Cepat melintasi pentas hormat.

    Seterusnya, PTD turut menyempurnakan acara penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Pisau Tempur TD, Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) 2021 dan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT) 2021.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.

    Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon.

     

     

  • PW I TD Merupakan Jambatan Menghubungkan Pegawai Atasan dan Anggota Bawahan – PTD

    PW I TD Merupakan Jambatan Menghubungkan Pegawai Atasan dan Anggota Bawahan – PTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Waran Satu (PW I) Tentera Darat (TD) di Dewan Tanjung, Wisma Transit Kuala Lumpur pada 15 Feb 2022.

    Seramai 21 PW II dinaikkan pangkat ke PW I terdiri daripada sembilan PW II Rejimen Askar Melayu Diraja, empat PW II Rejimen Renjer Diraja, tiga PW II Kor Perkhidmatan Diraja dan seorang PW II masing-masing daripada Rejimen Sempadan, Kor Perkhidmatan Am (Kerani), Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan), Kor Kesihatan Diraja dan Kor Risik Diraja.

    Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang dinaikkan pangkat kerana ianya merupakan suatu pencapaian yang wajar dibanggakan.

    “Kenaikan pangkat ini bererti tanggungjawab yang dipikul akan bertambah dan harapan saya agar amanah yang diberi dapat ditunaikan dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

    “Selaku PW I TD, saudara saudari mempunyai peranan penting iaitu menjadi jambatan yang menghubungkan pegawai atasan dengan anggota bawahan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan kondusif agar segala penugasan yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” ujar beliau.

    Tambahnya lagi, saudara saudari perlu menjadi pemudah cara yang dapat membantu anggota bawahan memahami di mana mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berilah bimbingan yang sewajarnya serta jagalah kebajikan mereka sebilang masa.

    “Gunakan kebijaksanaan dan pengalaman masing-masing dalam menghadapi setiap cabaran dan permasalahan yang mendatang serta jadikan nilai-nilai murni seperti sifat amanah, jujur, ikhlas dan berintegriti sebagai pegangan.

    “Jika nilai ini dapat diterap dalam jiwa, saudara dan saudari akan dapat menunaikan tanggungjawab yang diberi dengan cemerlang,” tegas PTD.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

    Gambar: Lkpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • TD Komited Bantu Anggota Dilanda Musibah Banjir

    TD Komited Bantu Anggota Dilanda Musibah Banjir

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Warga Tentera Darat (TD) Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div) bertempat di Dewan Makan, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) pada 28 Jan 2022.

    Seramai 90 anggota TD yang terkesan akibat banjir menerima sumbangan fasa dua berbentuk wang tunai, keperluan harian dan barangan elektrik yang terdiri daripada peti sejuk jenama MIDEA, dapur memasak, cerek elektrik, periuk nasi elektrik serta sepersalinan barangan persekolahan diberikan untuk anggota yang mempunyai anak bersekolah.

    Cerek elektrik menjadi simbolik kepada barangan elektrik lain yang akan diperolehi dan perlaksanaan majlis ini adalah sebagai tanda keprihatinan TD buat warganya yang terkesan akibat banjir sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohammad Abdul Rahman, Pemangku Panglima Medan Tentera Darat merangkap Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Ya’kob Hj Samiran, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • PERNAMA Muncul Membawa Harapan Dan Semangat Baharu Jaga Kebajikan Anggota

    PERNAMA Muncul Membawa Harapan Dan Semangat Baharu Jaga Kebajikan Anggota

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Hj Buang TUDM menyatakan bahawa kami amat menghargai dan berterima kasih diatas kesetiaan serta keprihatinan yang ditunjukkan oleh Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama ini.

    “Dua tahun kebelakangan ini, kita semua telah mendengar dan melihat bagaimana ATM berjaya menunaikan tanggungjawabnya dalam membantu negara ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

    “Kemahiran melaksanakan Military Operations Other Than War yang dikukuhkan dengan pendekatan Whole of Government dan Whole of Society merupakan pemangkin kepada kejayaan-kejayaan yang dicapai, sehingga dapat mengeluarkan negara daripada terus ditimpa kemudaratan yang lebih dasyat.

    “Tatkala para perwira negara ini gigih menunaikan tanggungjawab di lapangan, PERNAMA muncul membawa harapan dan semangat baharu kepada mereka selain memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan dijual dengan harga yang berpatutan.

    “PERNAMA turut bermurah hati menyumbangkan bungkusan makanan yang bernilai RM 80,000 kepada ahli keluarga anggota serta para veteran yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

    PAT berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Penyerahan Rasmi Kalendar 2022 Pernama dan Sumbangan Kepada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) di Wisma Perwira ATM pada 16 Dis 2021.

    Tambah beliau lagi, sudah tentunya sumbangan wang yang bakal diterima ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dan ianya akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

    “Saya bagi pihak seluruh warga ATM ingin mengucapkan jutaan terima kasih serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan diatas keprihatinan dan jasa baik yang telah diberikan oleh PERNAMA selama ini,” ujar PAT.

    Terdahulu, Pengerusi PERNAMA, Jen Tan Sri Dato’ Sri (DR.) Abdul Azizi Hj Zainal (B) mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian PAT meluangkan masa dan menjayakan majlis yang telah menjadi seperti acara tahunan.

    “Penghasilan kalendar tahunan ATM tajaan PERNAMA bukanlah semata-mata rujukan bulan dan tarikh sahaja, namun usaha menghasilkan kalendar tahunan ini tanpa gagal sejak lebih 35 tahun yang lalu merupakan simbolik kepada hubungan erat yang terjalin antara PERNAMA dan ATM.

    “Seperti sedia maklum, sejak tercetusnya pandemik COVID-19 anggota ATM merupakan barisan hadapan negara yang berterusan manakala memasuki tahun kedua pandemik, selain meneruskan misi utama, OP PENAWAR dan OP BENTENG, ATM turut menggerakkan anggota serta aset-asetnya bagi membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memenuhi keperluan pesakit COVID-19.

    “Perancangan untuk membina sebuah kompleks PERNAMA di Jalan Padang Tembak telah pun bermula dan sementara menanti ianya direalisasikan sebuah kedai sementara telah pun mula beroperasi di sebahagian tapak kompleks ini.

    “Kedai ini turut menawarkan barangan segar dan sejuk beku bagi memudahkan warga ATM, Kementerian Pertahanan seta keluarga yang tinggal berhampiran mendapatkan keperluan harian,” katanya.

    Majlis diakhiri dengan acara menandatangani paparan potret Kalendar ATM 2022 sebagai simbolik pelancaran majlis serta penyerahan sumbangan tahunan TKAT kepada PAT.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Datuk Seri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman.

  • 7 Bgd dan GAPU Terima Panglima Baharu

    7 Bgd dan GAPU Terima Panglima Baharu

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) bertempat di Bilik Tamu, Pejabat PTD pada 1 Nov 2021.

    Majlis dimulakan dengan dua pegawai kanan dinaikkan pangkat daripada Kol ke Brig Jen iaitu Kol Mohamad Suria Mohamad Saad yang dinaikkan pangkat Brig Jen dan menjawat jawatan sebagai Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

    Manakala, Kol Muhamad Ali Baharun dinaikkan pangkat Brig Jen dan menjawat jawatan sebagai Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU).

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Muhammad Ab Rahman, Ketua Staf Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.