Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Sehati Sejiwa.
Pertamanya, saya ucapkan syabas kepada seluruh warga Tentera Darat yang telah bersama-sama saya mengharungi Tahun 2017 dengan jayanya. Kejayaan yang dirakamkan ini adalah bersandarkan kepada kesepaduan yang terjalin setiap dari kita dalam memastikan Tentera Darat terus bergerak ke hadapan dan diyakini oleh seluruh rakyat akan kewujudannya. Lantaran itu, marilah kita gunakan pengalaman yang ditintakan pada tahun 2017 untuk sama-sama kita memacu tahun 2018 ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang. Seterusnya kekal sebagai ketumbukan yang ampuh dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
Saudara dan Saudari sekalian,
Tahun 2017 telah memaparkan banyak cabaran dan dugaan dapat kita harungi dan sama-sama depani. Kesemuanya telah berjaya diterjemahkan kepada kejayaan dengan berlandaskan kepada konsep TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU. Ini menunjukkan kecemerlangan yang digapai pada hari ini adalah berkesinambungan dari kecemerlangan yang lepas dan ia merupakan tapak untuk ketumbukan ini terus kukuh seiring dengan peranan dan tugas yang diamanahkan.
Berdasarkan kepada semangat itu, ingin saya rungkaikan kecemerlangan yang telah dikecapi sepanjang tahun 2017 berdasarkan kepada lima (5) teras dalam Perintah Ulung saya.
Pertama – Kecemerlangan Dalam Memperkasakan Kesiagaan Angkatan.
Kecemerlangan dalam memperkasakan kesiagaan angkatan ini dapat dilihat menerusi beberapa aspek iaitu pencapaian dari segi pelaksanaan operasi, latihan, hubungan bilateral/multilateral serta pembangunan manual/doktrin TD.
Pencapaian Operasi. Sepanjang tahun 2017, Operasi Tentera Darat yang melibatkan Operasi Teras, Operasi Gabungan, Operasi Bersama dan Operasi Khas/Bersepadu telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan pencapaian 100% seperti disasarkan. Pelbagai operasi yang telah dilaksanakan ini membawa kepada tangkapan Pendatang Tanpa lzin (PTI) seramai 550 orang dan rampasan barang seludup berjumlah melebihi RM 1.5 juta. Selain itu, Operasi Murni (MOOTW) yang telah dan sedang dilaksanakan ketika ini juga telah banyak membantu pihak berkuasa tempatan dalam menangani pasca banjir seperti di Pulau Pinang, Kelantan dan Sabah. Turut tidak dilupakan adalah kejayaan warga Tentera Darat yang telah dan sedang terlibat dengan Operasi UNIFIL di Lubnan dan Tim Pemantau Antarabangsa di Mindanao yang terus meyakinkan masyarakat dunia akan kemampuan kita dalam membantu mengekalkan keamanan dunia.
Pencapaian Latihan. Aspek latihan yang berterusan merupakan medium terbaik untuk meningkatkan keyakinan, pengalaman dan pengetahuan warga Tentera Darat dan mampu memperkasakan lagi kesiagaan angkatan secara keseluruhannya. Bagi tahun 2017, Tentera Darat telah berjaya mencapai sasaran 100% bagi pelaksanaan latihan tempatan dan eksesais bilateral/multilateral bersama beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura. Malah kita Juga turut melaksanakan eksesais bilateral/multilateral ini bersama dengan negara-negara dari luar dari ASEAN seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan Perancis. Menerusi siri latihan yang dijalankan, saya percaya ia dapat meningkatkan keyakinan, pengalaman dan pengetahuan warga Tentera Darat dan mampu memperkasakan lagi kesiagaan angkatan secara keseluruhannya.
Pencapaian Hubungan Bilateral/Multilateral.
Menerusi platform hubungan bilateral/multilateral, Tentera Darat telah mendapat pengiktirafan dan kepercayaan yang tinggi dari negara-negara sahabat. Kepercayaan ini dizahirkan dengan jelas pada tahun 2017 melalui wujudnya platform yang lebih kukuh dalam military diplomacy antara Tentera Darat dua negara menerusi Army to Army Talk (A2AT) Tentera Darat Malaysia bersama Tentera Darat-Tentera Darat dari negara-negara seperti Australia, New Zealand, Brunei, Indonesia, Amerika Syarikat, Pakistan, India, Filipina, Thailand dan Kanada.
Pemerkasaan kesiagaan angkatan juga dapat dilihat menerusi pembangunan manual/doktrin yang bergerak seiring dengan perkembangan peperangan masa kini dan perolehan aset-aset baharu. Situasi ini merujuk kepada kejayaan membangunkan 41 manual/doktrin baharu dan semakan semula kepada 21 manual/doktrin sepanjang tahun 2017 demi menentukan kesaling hubungan antara man/machine dan method.
Saudara dan Saudari sekalian,
Kedua – Kecemerlangan Dalam Mengukuhkan Kesepaduan Angkatan.
Pada detik ini, saya amat bangga dengan tahap kesepaduan warga Tentera Darat seluruhnya. Keutuhan dan kesepaduan kita pada ketika ini adalah bertunjangkan kepada penyuburan amalan sistem rejimental yang diwarisi dari warga terdahulu. Amalan yang diwarisi ini telah berjaya menyatupadukan keluarga besar kita untuk terus berdiri teguh sebagai satu ketumbukan yang ampuh. Nilai ini dapat dibuktikan menerusi sifat kerjasama, semangat setia kawan serta jalinan keakraban utuh yang telah dipamerkan oleh setiap warga Tentera Darat dalam pelaksanaan apa jua bentuk aktiviti sama ada operasi mahupun latihan. Keadaan ini secara tidak langsung telah meletakkan kita dalam suatu organisasi yang utuh dan bersatu padu dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.
Sesungguhnya kesepaduan kita pada hari ini telah membuktikan serta memanifestasikan kewujudan Tentera Darat adalah untuk keselesaan, keharmonian dan kemakmuran rakyat seluruhnya. Tanpa adanya amalan saling taat setia dan patuh antara pemerintah dan anggota bawahannya yang bertunjangkan kepada amalan rejimental, adalah mustahil untuk kita dapat melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.
Ketiga – Pencapaian Dalam Meneguhkan Profesionalisme.
Aspek profesionalisme yang saya tekankan di sini adalah merujuk kepada keperluan untuk setiap warga Tentera Darat mempunyai perawakan fizikal yang unggul, berketerampilan serta berkemahiran tinggi. lni disokong melalui aspek kecergasan tubuh badan, pengekalan Body Mass Index (BMI), peningkatan daya intelektual serta mahir dalam pelbagai bidang yang dikhususkan.
Dalam aspek kecergasan tubuh badan dan pengekalan Body Mass Index (BMI), saya melihat ia sebagai satu usaha yang perlu dilaksanakan secara holistik dan berterusan. la juga perlu dijadikan budaya sepertimana tentera negara-negara luar yang amat mementingkan aspek ini dengan melakukan latihan jasmani pada ruang masa yang sesuai tanpa perlu sebarang arahan. lni menunjukkan salah satu sikap profesional warga tentera yang harus diikuti oleh seluruh warga Tentera Darat agar sentiasa berketerampilan unggul. la secara tidak langsung berupaya meningkatkan lagi keyakinan rakyat dan negara terhadap keupayaan Tentera Darat dalam menggalas tugas teras mempertahankan kedaulatan tanah air serta memberi sumbangan terhadap pembangunan negara.
Selain itu, dalam aspek peningkatan intelektual, saya bangga untuk menyatakan iaitu pada ketika ini Tentera Darat mempunyai 4,738 (5.29%) orang pegawai dan anggota berkelulusan Diploma, 2,982 (3.33%) orang berkelulusan ljazah Sarjana Muda, 811 (0.9%) orang berkelulusan ljazah Sarjana dan 18 (0.02%) orang berkelulusan ljazah Doktor Falsafah. Jumlah ini menunjukkan daya intelektual warga Tentera Darat pada hari ini semakin berkembang dan menunjukkan peningkatan dari tahun-tahun sebelumnya.
Seiring dengan perawakan unggul dan peningkatan daya intelektual warganya, Tentera Darat terus memandang ke hadapan dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran warganya melalui perolehan dan pembangunan pelbagai infrastruktur latihan seperti lmmersive Virtual Training Simulator (VIRTSIM), Urban Combat Village, Kolam Selam Tempur dan kemudahan-kemudahan latihan lain yang mengkhususkan peningkatan kemahiran secara teori dan praktikal. Kemudahan yang disediakan ini harus digunakan sebaiknya agar hasrat untuk menjadikan warga Tentera Darat sebagai warga yang mahir dan profesional dapat direalisasikan.
Saudara dan Saudari sekalian,
Keempat Pemantapan Pengurusan Organisasi.
Sebagaimana saya tekankan didalam perintah ulung saya, aspek pemerintahan, kepimpinan dan pengurusan yang berwibawa perlu dihayati supaya setiap langkah yang diambil adalah berteraskan integriti dan ketelusan. Dalam usaha ke arah pengurusan yang berintegriti tinggi dan telus, Tentera Darat telah berjaya melancarkan Pelan lntegriti Organisasi Tentera Darat (PIOTD) dan pembangunan 30 manual kualiti Malaysian Army Standards (MASt) sepanjang tahun 2017 yang boleh dijadikan panduan dalam mengurus tadbir formasi dan pasukan.
Disamping itu, pembudayaan amalan inovasi serta kreatif oleh warga Tentera Darat telah berjaya mengharumkan nama baik Tentera Darat di mana pada tahun 2017 Tentera Darat telah berjayamenghasilkan 14 projek untuk pertandingan KIK peringkat Kementah dan enam projek telah berjaya untuk mendapat tempat tiga terbaik. Lebih membanggakan apabila salah satu projek inovasi bernama smart generator system telah mendapat johan di Pertandingan lnovasi Negeri Selangor (AINS) tahun 2017 bagi kategori sektor kerajaan/swasta dan naib johan di Pertandingan lnovasi lnklusif Zon Tengah. Projek berkenaan juga telah mendapat penarafan tiga bintang serta dicalonkan untuk bertanding di peringkat antarabangsa bertempat di Indonesia pada bulan November 2018. lni menunjukkan bahawa warga Tentera Darat pada hari ini tidak ketandusan idea dan mampu bersaing pada peringkat yang lebih tinggi.
Kelima – Peingkatan Kualiti Hidup
Peningkatan kualiti hidup anggota tentera dan keluarga terus menjadi agenda utama saya dan ini mendapat sokongan sepenuhnya baik di peringkat Kementerian Pertahanan mahupun Angkatan Tentera Malaysia. Merujuk kepada perkara ini, saya lebih memandang kepada aspek mewujudkan persekitaran yang kondusif di tempat kerja, penginapan anggota dan juga rumah keluarga. Seiring dengan perkara ini, dapat dilihat beberapa pasukan telah dibuat penempatan semula bagi membolehkan setiap warga Tentera Darat memperoleh ternpat kerja dan penginapan yang lebih selesa dan kondusif. Begitu juga dengan rumah keluarga, menerusi keprihatinan kerajaan yang memerintah, penambahbaikan kepada rumah keluarga angkatan tentera terus dilaksanakan dan kekal manjadi keutamaan dalam bajet yang telah diumumkan baru-baru ini.
Dalam aspek peningkatan kualiti hidup ini juga, beberapa inisiatif baharu yang melibatkan perkhidmatan seperti kesihatan, pendidikan dan pemilikan rumah telah turut disediakan kepada warga tentera pada hari ini. Menerusi aspek perkhidmatan kesihatan, kebajikan warga tentera, ahli keluarga dan veteran tentera terus dititikberatkan melalui pembinaan beberapa buah Poliklinik Angkatan Tentera Malaysia yang dibina secara berfasa bagi mengimbangi kesesakan yang berlaku di hospital bagi kes-kes pesakit luar.
Bagi aspek pendidikan pula, beberapa inisiatif telah dilaksanakan dalam menentukan tahap pendidikan anak-anak tentera sentiasa berada pada tahap yang tertinggi. lnisiatif seperti Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM, penaiktarafan beberapa sekolah dalam Kem ATM sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan, Program Sekolah Bantuan Khas Anak-Anak ATM, Program Sekolah Angkat lndustri Pertahanan, TASKA ATM serta Program Tuisyen Berpusat dan Tuisyen Online ATM merupakan usaha-usaha yang telah dilaksanakan demi memberi peluang kepada anak-anak tentera mendapat kualiti pendidikan yang bermutu. Dalam masa yang sama, semua program yang dilaksanakan turut menjurus kepada usaha untuk membantu dalam menentukan kejayaan akademik kepada semua anak anak warga tentera. Di samping itu, perkhidmatan lain seperti perkhidmatan bas sekolah bagi menggantikan feri sekolah turut diteruskan demi menentukan keselesaan dan keselamatan anak-anak tentera ini.
Berkaitan aspek pemilikan rumah, kesungguhan Tentera Darat dalam hal ini dapat dilihat melalui penubuhan Tim Projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Tentera Darat yang bertanggungjawab membantu mengkoordinasikan proses pemilikan rumah kepada warga Tentera Darat yang masih belum memiliki rumah sendiri. Penubuhan Tim ini adalah selari dengan hasrat Kementerian Pertahanan untuk memastikan setiap anggota ATM dapat memiliki sebuah rumah sendiri sebelum bersara dari perkhidmatan. Hasrat ini juga turut dipanjangkan kepada anggota veteran yang masih belum memiliki rumah sendiri pada ketika ini.
Dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini, satu lagi inisiatif yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan baru-baru ini jelas membuktikan kebajikan warga tentera dan veteran amat diutamakan. Melalui kempen harga CAKNA yang dibawakan oleh PERNAMA, warga tentera dan veteran tentera telah ditawarkan barangan pada harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Keadaan ini jelas memberi sedikit kelegaan kepada warga tentera dan veteran dalam membuat pengurusan kewangan untuk mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat ini.
Secara keseluruhannya, selaku Pengerusi Teras Kebajikan – Hala Tuju Kementerian Pertahanan, saya percaya melalui apa yang telah disediakan ini, ia akan dapat melahirkan keluarga yang harmoni dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup warga tentera. Seterusnya dapat meningkatkan moral dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik untuk keampuhan benteng pertahanan negara.
Seiring dengan peningkatan kualiti hidup ini juga, peranan BAKAT yang senantiasa menjadi pendamping kepada organisasi ketenteraan pada hari ini tidak boleh dilupakan. Kepada seluruh ahli BAKAT Darat, saya mewakili Pengerusi Jemaah Tertingi BAKAT Darat mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga BAKAT. Saya amat bangga dengan kerjasama dan komitmen yang telah dipamerkan oleh semua, tidak kira dari barisan kepimpinan hinggalah kepada ahli-ahlinya. Keadaan ini membuktikan kefungsian organisasi BAKAT pada hari ini dapat disuburkan dan diterjemahkan sewajarnya selaras dengan piagam penubuhannya.
Saudara dan Saudari sekalian,
Adalah ditegaskan di sini bahawa kejayaan demi kejayaan yang telah diraih ini tidak datang dengan sendirinya. Tanpa ada usaha yang jitu serta kesepaduan dari seluruh warga Tentera Darat, adalah amat mustahil untuk kita nikmati apa yang dikecapi pada hari ini. Oleh yang demikian, ia seharusnya menjadi pembakar semangat untuk kita terus mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang dan berusaha menjadi warga yang lebih baik dan produktif pada tahun 2018.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, 2018 bakal hadir dengan pelbagai bentuk cabaran yang harus kita hadapi bersama. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada setiap individu untuk terus perkukuhkan ikatan kesepaduan yang sedia terjalin serta berikan komitmen yang padu agar Misi, Visi dan Objektif yang telah digariskan dapat dicapai. Seterusnya menjadi satu ketumbukan yang diyakini akan kemampuannya dalam menentukan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan rakyat mendapat manfaatnya.
Sekian, Selamat Tahun Baru 2018 dan selamat maju jaya.
“TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU”
JENERAL TAN SRI DATO’ SRI ZULKIPLE BIN HJ KASSIM
PANGLIMA TENTERA DARAT