KUALA LUMPUR: Seramai 47 pegawai kanan Tentera Darat (TD) dinaikkan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 10 Apr 2019.
Mendahului senarai, Kol Profesor Ir. Dr Norazman Mohamad Nor yang dinaikkan pangkat daripada Kol ke Brig Jen dan menjawat jawatan sebagai Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat kepada empat pegawai kanan dinaikkan pangkat daripada Lt Kol ke Kol didahului oleh Lt Kol Norazman Ismail yang menjawat jawatan sebagai Ketua Staf, Markas Artileri Div 2 Div, Lt Kol (Dr) Meor Adzhary Sagiruddin menjawat jawatan sebagai Kol Perubatan, MK Pemerintahan Medan Timur TD, Lt Kol Dzeidee Jamaludin menjawat jawatan sebagai Ketua Perhubungan Luar, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan dan Lt Kol Profesor Madya (Dr) Khairol Amali Ahmad menjawat jawatan sebagai Pensyarah UPNM.
Manakala seramai 42 pegawai kanan dinaikkan pangkat dari Mej ke Lt Kol.
Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pegawai yang dinaikkan pangkat dan berharap ini adalah pemangkin untuk terus berkhidmat dengan lebih komited dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Saudara-saudari hendaklah menentukan anggota bawahan masing-masing mempunyai pemikiran membudayakan latihan fizikal, mental dan rohani sebagai gaya hidup tentera, justeru hayatilah Perintah Ulung PTD, amalkan ASAS dan jadikan coretan dari Meja PTD sebagai panduan, tiada jalan singkat untuk berjaya dan menjadi Tentera Darat kelas pertama.
“Sebagai pegawai kanan yang memimpin anggota bawahan, saya berharap saudara-saudari dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing agar TD akan menjadi lebih harmoni dan lebih cekap,” tegas PTD.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Azizan Md Delin, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon