SARAWAK: Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Zamrose Mohd Zain telah hadir ke Majlis Simbolik Pelancaran Bantuan Bekalan Makanan Sarawak (Fasa 1-Bahagian Miri) sempena Program Agihan Bantuan Kerajaan Negeri Sarawak Ke Kawasan Pedalaman bagi tempoh Fasa 2 Perintah Kawalan Pergerakan pada 5 Apr 2020.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Hj Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Hj Openg.
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg semua kenderaan yang membawa bekalan makanan dibenarkan untuk membuat penghantaran ke seluruh Sarawak tanpa sebarang sekatan.
Kebenaran itu diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan penduduk tidak menghadapi masalah bekalan makanan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi kawasan yang jauh di pedalaman katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersetuju untuk membantu membuat penghantaran menggunakan helikopter.
“Beberapa kawasan yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat seperti Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapita akan dibantu oleh ATM dengan menggerakkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mempercepatkan penghantaran bekalan makanan ke kawasan terbabit.
“Sebagai permulaan hari ini, penghantaran makanan menggunakan helikopter TUDM dilaksanakan ke kawasan Bario,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan Program Penghantaran Bekalan Makanan disempurnakan di hangar Unit Udara JBPM, Miri.
Tambah beliau lagi pihak TUDM akan memberi jaminan penghantaran bekalan makanan ke semua 13 lokasi pedalaman menggunakan helikopter EC725 bergantung kepada kepada keadaan cuaca.
Selain itu Kerajaan Sarawak turut menyediakan peruntukan berjumlah RM16.4 juta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk setiap rakyat.
Kira-kira 450,000 rakyat Sarawak menerima bekalan makanan apabila setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan RM200,000 dan golongan sasaran yang dibekalkan dengan makanan asas ini terdiri daripada Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan luar bandar dan pedalaman, penduduk miskin bandar dan mereka yang terputus pendapatan kerana PKP.
Semua penerima bantuan makanan itu ditentukan oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian atau Daerah yang terdiri daripada Residen, Pegawai Daerah, agensi-agensi Kerajaan, Pusat Khidmat ADUN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Turut hadir Panglima 9 Bgd, Brig Jen Abd Rahman A. Wahab dan Komander Rejimen 511 AW, Brig Jen Abang Mohamad Abang Marzuki.
Gambar: MK Pemerintahan Medan Timur
[custom-facebook-feed featuredpost=3383632254998999 type=photo loadmore=false photocols=5]