Bersama PemimpinLawatanSemasa

Kerjasama Dengan Agensi Lain Dalam OP MERPATI 1 Cemerlang – PTD

JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain memaklumkan sehingga kini, pelaksanaan Operasi Bersepadu bersama agensi kerajaan lain di Negeri Johor dalam OP MERPATI 1 amat cemerlang kerana telah berjaya menangkap 24 Tekong melibatkan 13 Tekong Darat dan 11 Tekong Laut serta 1,108 PATI dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2.6 juta.

“Penguatkuasaan kawalan sempadan negara yang dilakukan secara bersepadu di antara pasukan terlibat membuahkan kejayaan cemerlang sekaligus dapat membanteras kemasukan PATI ke negara terutama di kawasan Johor.

“Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan OP BENTENG terutamanya di Johor adalah kerana wujudnya perancangan risikan dan kerjasama erat khususnya antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Johor dan TD melalui Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd),” jelas PTD.

PTD berkata demikian semasa sidang media dalam lawatan beliau ke Markas Taktikal Pos Tg Sepang yang merupakan kawasan OP BENTENG bagi sektor 7 Bgd pada 30 Dis 2020.

Tambahnya lagi, kawasan operasi di Johor ini adalah antara kawasan operasi yang paling berjaya kerana mempunyai aset dan sistem teknologi seperti radar dan dron yang membuat pemantauan secara berterusan di kawasan sempadan.

Menurutnya, kejayaan ini juga berikutan daripada pembabitan serta koordinasi atur gerak antara komponen darat, maritim serta penggunaan aset dan teknologi melaksanakan pemantauan secara berterusan.

“Saya merakamkan penghargaan atas kerjasama yang telah diberikan bagi memastikan kejayaan OP BENTENG ini kepada Ketua Polis Johor, Komisioner Polis (CP) Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay, Komander Komponen Darat dan Maritim (LCC & MCC), Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Pasukan RELA dan penduduk tempatan sekitar Bandar Penawar yang tampil berkongsi maklumat.

“Manakala National Task Force (NTF) yang diwujudkan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 akan diteruskan dengan pengstrukturan semula fungsi dan peranan bagi mengawal kedaulatan negara,” katanya.

Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohamed Fauzi Kamis dan dimulakan dengan penyampaian taklimat konsep aturgerak operasi yang disampaikan oleh Panglima 7 Bgd dan Pegawai Memerintah Batalion yang beroperasi di sektor tersebut.

PTD kemudiannya dipertontonkan dengan Demonstrasi Aturgerak OP BENTENG iaitu Pengoperasian Drone oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta Pengoperasian Kereta Perisai GEMPITA.

Selain itu, turut diadakan Demonstrasi Aturgerak Anjing Perang dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dan diakhiri dengan Demonstrasi Prosedur Tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Pada masa sama, PTD turut berjumpa dengan anggota yang sedang melaksanakan operasi dan menasihatkan mereka agar menjaga displin dan tidak melakukan perkara di luar bidang kuasa yang boleh menjejaskan nama baik TD serta terus komited menjalankan amanah yang diberi.

Turut hadir, Pemangku Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Polis Johor, Panglima Laut Wilayah 1, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Penolong Pengarah MKN Negeri Johor, Pengarah Maritim Johor dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor.

Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button