Bersama PemimpinSemasa

Kejayaan Tidak Terbina Tanpa Pengorbanan – PTD

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain merasa amat bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh Perajurit Muda (PM) dalam menempuh jerih perih latihan dan ujian walaupun berdepan dengan Pandemik COVID-19.

“Kejayaan tidak terbina tanpa pengorbanan, rasa syukur dan perasaan terima kasih dimana usaha, pengorbanan, doa dan tawakal itu merupakan resepi kejayaan saudara dan saudari pada hari ini.

“Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan semasa latihan, telah terbukti pada hari ini saudara dan saudari telah berjaya menamatkan latihan sebagai seorang anggota Tentera Darat (TD),” tegas PTD.

PTD berkata demikian semasa ucapannya dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Tentera Darat Siri 192/2020 dan Wanita Siri 46/2020 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 20 Feb 2021.

Selain itu PTD turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa PM kerana merelakan anak-anak mereka menyertai perkhidmatan TD.

“Sesungguhnya pengorbanan ibu bapa saudara dan saudari harus dipandang tinggi kerana tanpa restu doa restu mereka, belum tentu anda semua dapat mengecapi kejayaan pada hari ini,” katanya.

Tambah PTD lagi, TD tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terjerumus ke dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, buli serta kes pelanggaran disiplin yang akan mencemarkan imej TD.

Terdahulu, PTD menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan diketuai PM Lelaki Muhammad Irwan Kipawi yang juga merupakan PM Keseluruhan Terbaik.

Perbarisan ini dilaksanakan dalam norma baharu mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seramai 1769 PM terdiri daripada 1538 PM Lelaki dan 231 PM Wanita telah berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula dari 28 Ogos 2020.

PM yang cemerlang telah menerima anugerah meliputi beberapa kategori yang mana PM Kecergasan Jasmani Terbaik diberikan kepada PM Lelaki Adi Ali, PM Penembak Terbaik disandang oleh PM Lelaki Justin Robinson.

Sementara itu, PM Akademik Terbaik diberikan kepada PM Lelaki Sofwan Syahmi Norazizi dan PM Wanita Nur Syazana Tarmuji manakala PM Kawad Terbaik dianugerahkan kepada PM Lelaki Muhammad Fairus Hazman dan PM Wanita Keseluruhan Terbaik ialah PM Wanita Nurul Ain Najwa Mohd Isa.

Meskipun tanpa kehadiran ahli keluarga, PTD berpeluang mengucapkan tahniah kepada ibu bapa PM yang menerima anugerah melalui sidang video yang telah diaturkan.

Malah keluarga PM boleh melihat acara ini secara siaran langsung menerusi media sosial kerana ahli keluarga tidak dibenarkan hadir.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Abdul Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.

Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli, Pbt Syukri Suhaimi, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon


« 1 of 2 »

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button